Alhamdulillah.. Selepas Tular Akhirnya Ada Insan Yang Murah Hati.

| February 27, 2019 | 0 Comments

Alhamdulillah.. Selepas Tular Akhirnya Ada Insan Yang Murah Hati.| KHALIFAH MEDIA NETWORKS – “SAYA tiada apa-apa, hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas kebaikannya,” kata Muhammad Taufik Sulaiman, 44, yang menerima sumbangan kereta Perodua Kancil daripada individu enggan dikenali, semalam.

Sebelum ini, kisah mengenai Muhammad Taufik tular di media sosial sehingga mengundang simpati netizen apabila dia dilihat membawa ibunya yang uzur dengan menggunakan motosikal.

Muhammad Taufik berkata, selepas kisahnya disiarkan di akhbar, seorang individu enggan dikenali menyatakan hasrat menyediakan motosikal roda tiga untuk memudahkannya membawa ibu ke hospital.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu sekali lagi menghubunginya memaklumkan akan menggantikan motosikal roda tiga yang dijanjikan sebelum ini dengan kereta.

“Saya terkejut dengan kesungguhan dan kemurahan hati lelaki itu untuk membantu kerana tidak pernah terfikir untuk memiliki kereta.

“Beberapa hari selepas itu, saya dibawa berjumpa dengan pembekal kereta terpakai di Pasir Mas untuk urusan jual beli kereta dan pada petang semalam, kereta itu dihantar ke rumah.

“Bantuan yang diterima ini amat bermakna bagi saya, ibu dan isteri kerana ia akan lebih memudahkan kami bergerak,” katanya ketika ditemui di Pondok al Diniah al Yusuffiah Banggol Naim, Gelang Mas, Pasir Mas, hari ini.

Menurutnya, sejak kisahnya itu disiarkan, selain menerima panggilan daripada individu berkenaan, dia turut menerima beberapa panggilan daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang prihatin untuk membantunya.

Malah, katanya, ada yang menawarkannya motosikal yang lebih selesa daripada yang digunakannya ketika ini, namun menolaknya kerana sudah menerima bantuan kereta berkenaan.

“Pada ketika itu, saya terpaksa menolak sumbangan motosikal ini dengan cara yang baik kerana tidak mahu mereka berkecil hati,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Muhamad Taufik yang tular di media sosial selepas membawa ibunya, Habshah Ngah, 83, dengan meletakkannya pada bahagian hadapan motosikal sehingga mengundang rasa simpati apabila melihat keakraban dua beranak ini.

Lelaki ini terpaksa meletakkan ibunya pada bahagian hadapan motosikal kerana bimbang insan yang disayanginya itu terjatuh disebabkan keadaannya yang uzur kerana menghidap penyakit darah tinggi, selain masalah saraf empat tahun lalu.

Kredit : My Metro

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *