Bisik Ibu Yang Lesu, “Tolong Azankan… Anak Saya” Buat Doktor Ni Sebak

| May 10, 2019 | 0 Comments

Bisik Ibu Yang Lesu, “Tolong Azankan… Anak Saya” Buat Doktor Ni Sebak | Seperti diceritakan oleh Dr Chaku. Kejadian berlaku dalam malam bulan Ramadhan. Ibu tu bersalin normal tapi tumpah darah yang banyak, suasana jadi cemas. Muka masih pucat ibu tu berbisik, “tolong azankan.. anak saya”. Ini respon doktor tersebut. Allahu. Baca selanjutnya.

KISAH 7 TAHUN YANG LAMPAU DI BULAN RAMADHAN

Lepas berbuka tempoh hari, klinik aku kena serbu dengan pesakit. Ramai bukan main. Terpaksa lihat pesakit laju sedikit sebab ramai yang masih menunggu.

Aku dah mula serabut, mula kurang sabar, dan mula mengeluh.

“Kenapalah aku kena kerja? Di waktu begini, orang lain semua di masjid, tenang-tenang solat tarawih. Aku pula berhempas pulas di sini.” detik hati aku.

Beberapa tahun kebelakangan ni aku dah mula rasa terlepas nikmat Ramadan. Jarang-jaranglah dapat tunai solat tarawih berjemaah, sebab aku kena berkerja.

“Panggil next patient,” kata aku pada pembantu klinik.

Pembantu klinik pun panggil, dan masuk seorang ibu dengan anaknya yang berusia 7 tahun. Si ibu mengadu anaknya demam, aku periksa.

“Doktor, dulu doktor pernah kerja HSI eh?” soal si ibu semasa aku tengah periksa tekak anak dia.

“A’ah. Dulu saya pernah kerja sana. Mana puan tahu?” balas aku.

Terkebil-kebil si ibu tu memandang aku.

“Kenapa, puan?” tanya aku.

“Doktor tak ingat saya eh?”

Aku pula terkebil-kebil jadinya.

“Doktor, anak saya ni, masa dia lahir, doktor yang azankan. Ingat tak?” katanya sambil mengusap kepala anaknya.

Bila dia cakap begitu, terus rasa macam aku mengembara semula ke tahun 2012. Ramadan tahun tu aku bertugas di Jabatan Obsteterik dan Gineakologi.

“Doktor, patient doktor dah nak terberanak tu!” kata jururawat pada aku yang baru selesai berbuka di pantri.

Melompat aku dari kerusi, cuci tangan dan lari pergi dewan bersalin. Sampai-sampai, tengok bahagian atas kepala bayi dah tertonjol di bukaan pangkal rahim.

Masa aku buat persediaan nak sambut kelahiran tu, hati aku dah tak sedap. Rasa berdebar lain macam. Namun, tak sampai 2 minit lepas tu bayi pun lahir dengan jayanya. Alhamdulillah!

Selepas aku potong tali pusat bayi, aku letak bayi dalam dakapan ibunya. Bukan main senyum lagi si ibu. Memancar kegembiraan di wajah dia, tapi tiba-tiba anak mata si ibu memandang siling.

“Doktor… saya rasa peninglah”

“Dah inject Synto?” tanya aku pada jururawat yang bantu aku.

“Dah, doktor!”

Syntocinon ni ubat kecutkan rahim. Biasanya kami suntik pada ibu sebaik sahaja bayi dilahirkan untuk elakkan pendarahan yang banyak.

“Doktor, bleeding banyak ni,” kata jururawat.

Tekanan darah masih OK, tapi denyut nadinya dah laju, tanda-tanda kehilangan darah yang signifikan.

Kami terus ambil bayi dari dakapan si ibu, dan terus uruskan pendarahan. Infusi dimulakan.Uri dipisahkan dengan segera. Darah masih tumpah.

Kami teruskan dengan urutan rahim dan mulakan infusi syntocinon. Air dimasukkan dalam vena. Beberapa orang lagi doktor datang bantu.

Memang haru biru dalam bilik dewan bedah tu. Darah di mana-mana: pada sarung tangan, pada apron, atas katil, di lantai, malah juga atas kasut aku.

Ada 3 orang doktor, dan 2 orang jururawat tengah bertungkus-lumus pastikan pendarahan terkawal dan keadaan pesakit stabil.

“Puan, angkat sikit punggung!”

“Puan, suami mana?”

“Puan, nama siapa?”

“Puan, OK tak?”

Dalam keadaan tu, kami perlu berkomunikasi, tapi kerana keadaan genting dan mendebarkan, suara kami agak tinggi. Jadi bila beri arahan atau menyoal pesakit, kadang-kadang kedengaran seperti marah.

Setelah berperang dengan situasi getir tu, akhirnya pendarahan berjaya diberhentikan. Keadaan pesakit pun beransur-ansur stabil. Akhirnya hanya tinggal saya dan seorang jururawat menemani pesakit di bilik dewan bedah tu.

“Doktor…” sapa pesakit dengan suara yang lemah. Mukanya kelihatan sangat lesu. Mata dia kuyu.

“Ya, puan.”

“Anak saya OK tak?”

“Alhamdulillah OK. Dia ada di warmer.”

“Boleh tolong saya, tak?” soal wanita yang kini telah rasmi bergelar ibu itu.

“InsyaAllah, boleh.”

“Tolong azankan… anak saya.”

Kali pertama pesakit suruh aku azankan bayi dia yang baru lahir. Biasanya bapa bayi yang azan atau iqamah sendiri.

“Suami saya… on the way. Dari Perak. Polis. Bertugas. Doktor azankan dulu, ya.” katanya dengan ayat yang pendek-pendek. Barangkali terlalu penat.

Tak sempat tanya, pesakit tu dah jawab persoalan aku. Aku hanya senyum dan angguk tanda bersetuju. Sejujurnya, itu kali pertama aku azankan bayi yang baru lahir.

Semenjak hari tu, dah entah berapa ramai bayi yang aku azankan atau iqamahkan. Semua pasangan muslim, bayinya aku akan azankan jika pasangan beri kebenaran.

Memori itu terus melenyapkan keluhan aku yang tadi. Mungkin aku tak dapat tunaikan ibadah khusus Ramadan seperti tarawih, tapi aku diberi peluang tunaikan ibadah yang orang lain tak berpeluang tunaikan.

Jadi, apa yang nak dikeluhkan?

“Terima kasih, doktor,” ujar suami merangkap kepada bapa kepada budak tadi.

“Semoga anak Tuan jadi orang hebat !” balas aku.

“Macam doktor” balas dia.

Entah kenapa saya jadi emosional. Bahang je rasa dada. Bahang yang mententeramkan jiwa. Nasib baik tak nangis. Jika tidak, malu ternampak dek brader polis tu.

Apapun, di bulan Ramadan ni, marilah kita jadi seproduktif, jika tak mampu jadi lebih produktif dari bulan-bulan yang lain.

Kerja itu juga ibadah. Kita tunailah seperti mana kita tunaikan ibadah-ibadah lain. Dengan keikhlasan dan dengan sepenuh hati.

Sumber:
FB Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Bertugas hampir setiap malam sepanjang Ramadan.

Nota: Tarawih boleh je buat di rumah, sendirian.

Tags: , , , , , , , , , , , ,

Category: KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *