Bolehkah Melakukan Aqiqah Bayi Lelaki Hanya Dengan Seekor Kambing?

| August 14, 2018 | 0 Comments

Bolehkah Melakukan Aqiqah Bayi Lelaki Hanya Dengan Seekor Kambing? | KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Alahai, mahalnya harga 2 ekor kambing. Rasa macam tak mampu nak buat aqiqah bulan ni. Boleh ke buat bila anak dah besar? Macam mana caranya?”

 

 

Kenduri aqiqah amat sinonim dalam masyarakat kita dan biasanya ia disekalikan dengan majlis bercukur atau potong jambul. Sebagai umat Islam, tahukah kita apa sebenarnya ibadah aqiqah ini ?

Aqiqah ialah sembelihan binatang (an‘am) yang dilakukan kerana menyambut bayi yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyebutkan:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.

– Riwayat Abu Daud (2842)

Selain kambing, binatang sembelihan lain juga boleh diaqiqahkan seperti lembu, kerbau atau unta mengikut syarat yang telah ditetapkan bagi sembelihan. Contohnya, kadar bagi seekor kambing adalah bersamaan dengan 1/7 daripada unta dan lembu.

Timbul persoalan disini, bolehkah aqiqah anak lelaki dilakukan dengan hanya seekor kambing? Jom Baca penjelasan dibawah.

 

SOALAN : 

Sekiranya saya ingin melakukan aqiqah buat bayi lelaki, adakah cukup hanya dengan seekor kambing?

 

JAWAPAN :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hukum aqiqah adalah sunat bagi yang berkemampuan. Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada akikahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah akikah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.

Riwayat al-Bukhari (2839)

Aqiqah juga sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut disamping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.

Riwayat Abu Daud (1522)

Mengenai bilangan kambing yang perlu diaqiqahkan, bagi bayi lelaki, maka disunatkan dengan menyembelih 2 ekor kambing manakala bagi bayi perempuan pula adalah dengan menyembelih 1 ekor kambing. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyebutkan:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.

Riwayat Abu Daud (2842)

Berdasarkan hadith di atas, asal bagi aqiqah untuk anak lelaki adalah dua ekor kambing manakala bagi anak perempuan pula adalah seekor kambing. Ini adalah tertib yang terbaik bagi seseorang jika ingin melakukan ibadah aqiqah.

Adapun mengenai persoalan yang dibangkitkan, adakah memadai untuk beraqiqah dengan seekor kambing sahaja bagi anak lelaki? Maka jawapannya adalah memadai dan dibolehkan.

Ini adalah pendapat di dalam mazhab al-Syafi’e sepertimana dinukilkan oleh al-Imam al-Syirazi di dalam kitabnya al-Muhazzab dan begitu juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’.[1]

Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang”.

Riwayat Abu Daud (2841)

 

KESIMPULAN :

Berdasarkan petunjuk hadith seperti yang dibincangkan sebelum ini, maka kami nyatakan di sini bahawa melakukan aqiqah bagi anak lelaki dengan seekor kambing adalah memadai dan lakukanlah ibadah aqiqah ini dengan penuh keikhlasan dengan menzahirkan rasa syukur di atas kurniaan Allah SWT kerana menghadirkan zuriat buat keluarga kita dan pastinya juga Rasulullah SAW akan berbangga di akhirat kelak dek kerana ramainya umat Baginda SAW. Wallahu a’lam.

Kredit : Mufti WP

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *