Hukum Memuat Naik Gambar Bayi Di Laman Sosial.

| June 28, 2018 | 0 Comments

Hukum Memuat Naik Gambar Bayi Di Laman Sosial.|KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Saat kelahiran cahaya mata merupakan saat yang mendebarkan, mengembirakan dan saat indah buat ibu bapa yang menanti kelahiran anak mereka.

Mana taknya, ada suami isteri merekod atau menyimpan gambar, video dari awal disahkan kehamilan sehingga saat lahirnya anak itu.

Siapa tidak gembira dapat orang baharu dalam kehidupan ini. Apabila lahirnya bayi itu ke dunia, maka berlumba-lumbalah adik beradik saudara mara merakam dan menangkap gambar dan terus memuat naik gambar dan video itu ke laman sosial masing-masing dengan pelbagai ‘caption’ mereka.

Mungkin ada setengah ibu bapa terlebih dahulu melarang untuk memuat naik gambar bayi mereka ke laman sosial sehingga umur bayi sekian.

Timbul persoalan netizen, boleh ke memuat naik gambar bayi baru lahir ke laman sosial? Apa kebaikan atau keburukannya?

Jom Baca penjelasan di bawah, semoga kita tahu perbuatan kita itu dibolehkan atau di sebaliknya. Semoga bermanfaat.

 

SOALAN :
Salam tuan guru. Boleh ker bayi yang baru lahir tak boleh di tontonkan pada umum? Contohnya di Facebook.

 

JAWAPAN :

Larangan sedemikian mungkin disebabkan kerana khuatir bayi berkenaan terkena penyakit ‘ain. Sebelum menjelaskan lebih lanjut akan hal ini, perlu difahami tentang definisi penyakit ‘ain. ‘Ain ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata.

Orang dengki dan jahat, dengan sebab pandangan matanya saja sudah cukup untuk mengenakan orang yang dipandangnya dengan sesuatu penyakit.

Pun begitu, pandangan yang disebabkan kagum dan teruja dan disertai dengan sedikit sifat cemburu juga boleh menyebabkan terkena penyakit ‘ain mengikut Ibn Hajar al-‘Asqalani (Lihat Fath al-Bari, 10/200). Ini sebagaimana yang berlaku kepada Sahl bin Hunaif yang terkena ‘ain setelah dipandang oleh Amir bin Rabi’ah.

Dalam sebuah hadith daripada Amrah daripada ‘Aisyah RA berkata, “Pada suatu ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam masuk rumah. Tiba-tiba beliau mendengar anak kecil menangis, lalu Beliau berkata,

مَا لِصَبِيِّكُمْ هَذَا يَبْكِي، هَلَّا اسْتَرْقَيْتُمْ لَهُ مِنَ الْعَيْنِ

Maksudnya: “Kenapa anak kecilmu ini menangis? Tidakkah kamu mencari orang yang boleh mengubatinya daripada penyakit ‘ain?”
(Riwayat Ahmad, no. 24442)

 

Terdapat juga sebuah hadith lain tentang hal ini:

 

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُهَا أَنْ تَسْتَرْقِيَ مِنَ الْعَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengarahkannya (iaitu Aisyah) untuk mengubati dirinya daripada penyait ‘ain.”
(Riwayat Muslim, no. 2195)

 

Menurut Ibn al-Qayyim, ”Jiwa orang yang menjadi penyebab ‘ain boleh menimbulkan ‘ain, tanpa hanya dengan penglihatan. Bahkan kadangkala ada orang buta, kemudian diceritakan tentang sesuatu kepadanya lalu jiwanya boleh menimbulkan ‘ain walaupun dia tidak melihat sesuatu itu.

Ada banyak penyebab ‘ain yang boleh menyebabkan terjadinya ‘ain, hanya dengan cerita tanpa melihat.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/149) Ini bermakna, ‘ain boleh berlaku hanya dengan perasaan tanpa melihat seperti melalui televisyen dan gambar.

Walaubagaimanapun, tidak ada larangan secara khusus untuk memuatnaik foto bayi di dalam media sosial atau dipertontonkan kerana dikhuatiri terkena penyakit ‘ain.

Ini kerana, penyakit ‘ain boleh berlaku pada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa secara berdepan atau melalui gambar. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa perlu mengambil serius beberapa hal di bawah:

1 . Bagi mereka yang mungkin boleh memberi penyakit ‘ain kepada orang lain, seeloknya mendoakan keberkatan (ucap Barakallahu fik atau tabarakallah) kepada seseorang yang dikaguminya apabila melihat. Ini adalah berdasarkan saranan Nabi SAW dalam hadith Abu Umamah (Riwayat Ibn Majah, no. 3509).

2 . Bagi mengelakkan dan melindungi bayi terkena penyakit ‘ain, bacalah doa yang dibacakan oleh Nabi SAW kepada dua cucunya, Hassan dan Hussain:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada godaan syaitan, binatang berbisa dan daripada pandangan mata yang bersifat dengki.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 3371)

3 . Tidak melakukan sesuatu yang syirik dan khurafat bagi mengelakkan terkena ‘ain seperti meletakkan gunting dan memakaikan tangkal kepada bayi.

 

itulah diantara sebab-sebab kita perlu berjaga-jaga daripada penyakit ini. Walaupun tiada larangan yang khusus kita sebagai ibu bapa perlu berhati-hati. Sekian. Semoga bermanfaat.

 

Kredit : Mufti WP

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *