Hukum Solat Dalam Gereja.

| August 28, 2018 | 0 Comments

Hukum Solat Dalam Gereja. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Baru- baru ini viral satu video seorang lelaki yang masuk solat ke dalam sebuah rumah ibadat agama lain. Mungkin dia tak perasan atau sebaliknya. Artikel ini bukan disebabkan video itu tetapi artikel ini hanya ingin menjelaskan hukum jika kita solat di dalam gereja atau rumah ibadat agama lain.

Jom baca penjelasan dibawah yang dipetik daripada web Mufti WP. Semoga bermanfaat dengan perkongsian ini.

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Definisi gereja ialah tempat (rumah) sembahyang orang Kristian. Manakala biara pula ialah tempat pertapa tinggal sebagai satu komuniti atas ikrar keagamaan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Kami mulakan perbincangan ini dengan nas Ilahi:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرًا

Maksudnya: “…Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya…”

(Surah al-Haj: 40)

Al-Maraghi berkata: Sekiranya Allah SWT tidak mensyari’atkan kepada para nabi dan kaum mukminin agar memerangi musuh dan menegakkan landasan agama, nescaya orang musyrik akan menguasai dan menghancurkan semua tempat peribadatan. Boleh jadi, makna ayat ini ialah: Sekiranya tidak kerana penolakan daripada Allah SWT, nescaya pada zaman Nabi Musa AS, gereja telah dihancurkan, pada masa Nabi Isa AS, biara dan rumah ibadah telah dirobohkan, dan pada masa Nabi Muhammad SAW masjid telah dimusnahkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4565)

 

Hukum Solat Dalam Gereja

 

Para ulama’ telah khilaf kepada dua pendapat:

Pertama: Mengikut pendapat jumhur ulama dan juga Ibn Abbas, adalah makruh melakukan sembahyang di tempat-tempat ibadah orang kafir, sama ada ia diguna ataupun terbiar, kecuali jika darurat, maka barulah tidak makruh. Contohnya seperti mengelakkan daripada panas, sejuk ataupun dari hujan, juga kerana takutkan musuh, binatang buas dan sebagainya.[1]

Hikmat ia dilarang ialah kerana tempat ini adalah tempat bersarangnya segala syaitan disebabkan tempat-tempat ini biasanya tidak terlepas daripada gambar-gambar dan ukiran patung. Di samping itu, ia juga merupakan tempat yang menimbulkan godaan dan menghalang daripada rasa khusyu’ semasa bersembahyang.

Kedua: Ulama’ Hanbali pula berpendapat, tidak menjadi kesalahan untuk mengerjakan sembahyang di dalam gereja yang bersih. Tindakan ini dibolekan mengikut pendapat al-Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz, al-Sya’bi, Imam Abd al-Rahman al-Awza’ie dan juga Sa’ad bin Abdul Aziz. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Sayyidina Umar R.A dan Abu Musa al-Asy’ari R.A. Mereka mengerjakan sembahyang di dalam Ka’bah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar.[2] Di samping itu, menurut mereka, keharusan ini adalah diliputi oleh sabda Nabi Muhammad SAW:

فَأَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلاَةُ فَصَلِّ فَهُوَ مَسْجِدٌ

Maksudnya: Di mana saja kamu menemui sembahyang, maka sembahyanglah kerana bumi dijadikan sebagai tempat sujud.

Al-Imam al-Nawawi pula menyatakan dalam kitabnya al-Majmu’ yang bermaksud: “Makruh mengerjakan sembahyang di tempat yang menjadi sarang syaitan seperti tempat arak, tempat penipuan atau kezaliman dan segala tempat maksiat seperti itu.”

 

Tarjih

Kami berpendapat, makruh solat di gereja adalah lebih kuat berdasarkan kepada pendapat jumhur dan juga Mazhab Syafi’e. Dalam konteks di malaysia, kami berpendapat tidak sewajarnya seseorang itu solat di gereja tatkala negara kita yang agama Islam sebagai agama persekutuan mempunyai banyak masjid, surau dan kemudahan tempat solat yang telah dikhususkan untuk umat Islam. Oleh itu, mengelakkan diri daripada solat di gereja adalah perlu diambil kira.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam melaksanakan perintah-Nya. Ameen.

 

Kredit : Mufti WP

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *