Ini Pesanan Mufti Wilayah Persekutuan Kepada Semua Pihak Dalam Pencarian Mohamad Ashraf. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS – GOPENG: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meluangkan masa pada Selasa meninjau operasi pencarian peserta Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Ini Pesanan Mufti Wilayah Persekutuan Kepada Semua Pihak Dalam Pencarian Mohamad Ashraf.

Zulkifli tiba di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang, kira-kira pukul 1 petang selepas menghadiri program di Penjara Tapah.

Dalam lawatan kira-kira 30 minit itu, beliau mendengar taklimat operasi daripada Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu.

Bercakap kepada pemberita, Zulkifli mengingatkan semua pihak supaya melakukan pencarian mengikut syariat Islam sebenar.

Beliau berkata, keyakinan dan percaya kepada Allah adalah perkara sebaiknya dalam meminta petunjuk termasuklah dengan berdoa dan solat hajat.

“Cara yang dibuat apabila tidak menepati syariat Allah seperti memohon dengan makhluk lain dan menjangkakan bahawa ia memberi kesan dan kuasa, adalah tidak bertepatan dengan apa yang diajar: “Tiada sedaya tiada upaya kecuali dengan Allah SWT,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau meminta semua rakyat di negara ini bersatu hati dalam membantu usaha pencarian mangsa.

“Saya yakin ada titik pengakhiran iaitu penemuan. Kami berdoa kepada Allah SWT supaya Allah mengembalikannya kalau pada alam lain tetapi kalau pada alam kita agar dijumpai semula, Insya-Allah.

“Kita doakan mangsa dalam keadaan selamat dan sejahtera. Mudah-mudahan ia berakhir secepat yang mungkin,” ujar beliau lagi.

Kehilangan Mohamad Ashraf tiada unsur khianat – Polis

Polis tidak menemui sebarang unsur khianat dalam kes peserta Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.

Malah, kertas siasatan yang dibuka mengenai kes orang hilang itu juga telah hampir lengkap.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut untuk mencari apa juga kemungkinan.

“Daripada siasatan kita, daripada segi kalau-kalau ada foul play, kita melihat memang tak ada foul play. Kita lihat telefon, akaun bank, pergerakan kereta, masih lagi macam tidak terusik,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program derma darah sempena Sambutan Hari Polis ke-212 di Ipoh, pada Selasa.

Menurutnya, polis telah merakam perbualan lebih tujuh saksi termasuk penganjur, rakan-rakan serta keluarga mangsa.

Katanya, polis juga akan meneruskan operasi pencarian Sabtu ini di kawasan baharu yang belum dicari sebelum ini.

Beliau menasihatkan kumpulan atau individu yang ingin membantu operasi pencarian supaya melaporkan kepada pihak polis atau bomba terlebih dahulu.

“Mana-mana kumpulan ataupun siapa-siapa juga individu yang cuba untuk mencari, kita nasihatkan pergi berjumpa dengan pihak kita dan juga bomba,” ujarnya.

Razarudin dalam pada itu menafikan kononnya Mohamad Ashraf telah ditemui seperti yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan perkara-perkara seumpama itu yang tiada fakta kerana ia boleh mengguris hati keluarga mangsa.

Kredit : Astro Awani

Share.

Leave A Reply