Inilah Hukum Tidur Secara MENIARAP Yang Ramai TAK TAHU.

| June 19, 2018 | 0 Comments

Inilah Hukum Tidur Secara MENIARAP Yang Ramai TAK TAHU.| KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Ketika tidur sudah pasti kita berusaha mencari posisi mana yang paling selesa supaya kita terlena kan?. Sudah pasti kita juga mengetahui bahawa ada posisi-posisi tertentu yang dilarang untuk kita tidur.

Di sini kami kongsikan hukum tidur secara meniarap. Jom baca penjelasan ini, semoga bermanfaat.

SOALAN : 

Saya ada mendengar bahawa terdapat hadis Nabi SAW mengenai larangan untuk tidur secara meniarap. Bagaimanakah pandangan para ulama’ terhadap isu ini?

JAWAPAN : 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Memang terdapat hadis dari Nabi SAW mengenai larangan untuk tidur secara meniarap. Ini sepertimana riwayat daripada Ya`ish daripada ayahnya, Tikhfah bin Qaysi al-Ghifari RA bahawa pada suatu hari ketika beliau sedang tidur di dalam masjid dalam keadaan meniarap, lalu ada seseorang yang menggerakkanku (membangunkanku) dengan mengunakan kaki lalu berkata:

إِنَّ هَذِهِ ضِجْعَةٌ يُبْغِضُهَا اللَّهُ. قَالَ فَنَظَرْتُ فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah cara tidur yang dimurkai Allah. Kemudian Tikhfah RA berkata: “Lalu aku melihat lelaki itu (yang membangunkanku) adalah Rasulullah SAW.

Riwayat Abu Daud (5040) & al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad (1187)

Dalam hadis dengan lafaz yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:

قُمْ وَاقْعُدْ فَإِنَّهَا نَوْمَةٌ جَهَنَّمِيَّةٌ

Maksudnya: Bangun dan duduk, sesungguhnya ini adalah cara tidurnya penghuni neraka.

Riwayat Ibn Majah (3725)

 

Keharusan Mengejutkan Mereka Yang Tidur Menggunakan Kaki

Berdasarkan hadis di atas, antara faedah yang boleh diambil daripadanya adalah keharusan seseorang membangunkan orang lain yang sedang tidur dengan menggunakan kaki. Perbuatan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW melalui hadis di atas menjadi dalil akan keharusannya bahkan Nabi SAW adalah manusia yang paling tawadhu` dan perbuatan tersebut tidaklah dikira sebagai takabbur.

Sekiranya yang mengejutkan itu padanya perasaan takabbur maka pada perbuatan tersebut ada hukumnya yang lain. Namun, jika hanya semata-mata membangunkan seseorang dengan menggerakkan kaki dan mencuit maka tidaklah mengapa dan tidak dikira sebagai takabbur.

Namun perlulah juga melihat kepada keadaan orang yang ingin dibangunkan itu. Sekiranya ditakuti orang yang akan dibangunkan itu merasa diperkecilkan dan dipandang rendah dengan perbuatan membangunkan dirinya dengan menggunakan kaki, maka perbuatan itu haruslah dielakkan.[1]

 

Hukum Tidur Meniarap

Jelas terdapat larangan agar tidak tidur secara meniarap. Di dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi`e, tidur secara sengaja dalam keadaan sebegini adalah makruh. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`:

وَيُكْرَهُ الِاضْطِجَاعُ عَلَى بَطْنِهِ

Maksudnya: dan dimakruhkan untuk tidur di atas perut (secara meniarap).[2]

Al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah juga menyebutkan bahawa sunat juga mengejutkan mereka yang tidur dalam keadaan meniarap.[3]

 

KESIMPULAN

Larangan dari tidur secara meniarap berdasarkan hadis yang disebutkan di atas difahami oleh ulama` Syafi`eyyah adalah bersifat makruh. Seeloknya dijauhkan dari perbuatan tersebut.

Di akhir perbincangan ini, ingin kami kongsikan di sini bagaimana adab serta sunnah yang boleh dipraktikkan oleh muslim ketika mana ingin tidur. Antaranya:

 

  • Tidur dalam keadaan berwudhu`.

Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ

Maksudnya: Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwudhu`lah seperti mana wudhu`mu untuk melakukan solat.

Riwayat Al-Bukhari (247), Muslim (2710) & Abu Daud (5046)

 

  • Tidur pada lambung kanan (mengiring ke kanan)

Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW:

ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

Maksudnya: …kemudian berbaringlah kamu di atas lambung kamu di sebelah kanan.

Riwayat Al-Bukhari (247) & Muslim (2710)

 

  • Membaca Ayat al-Kursi

Membaca ayat al-Kursi sebelum tidur dapat memelihara diri dari gangguan syaitan sehingga subuhnya. Fadhilat ini berdasarkan hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya. [4] Ianya adalah sebuah hadis yang panjang dan kami sertakan sekali takhrijnya bagi rujukan para pembaca.

 

  • Membaca 3 Qul

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah R.Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا ‏{‏قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ‏}‏ وَ‏{‏قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ‏}‏ وَ‏{‏قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ‏}‏ ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya it uke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala. Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.

Riwayat al-Bukhari (5017)

 

  • Membersihkan Tempat Tidur

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ

Maksudnya: Jika salah seorang dari kamu ingin mendatangi tempat tidur kamu, maka ambillah sebahagian kain lalu dikibaskannya (bagi membersihkan tempat tidur itu)…

Riwayat Muslim (2714)

 

  • Membaca Doa

Antara doa tidur yang boleh diamalkan:

بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ[5]
Maksudnya: Dengan nama-Mu Tuhan aku meletakkan lambungku Dan dengan Nama-Mu pula aku bangun daripadanya. Apabila Engkau menahan rohku (mati), maka berilah rahmat padanya. Tetapi apabila Engkau melepaskannya, maka peliharalah, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ‏[6]
Maksudnya: Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku mengarahkan wajahku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu menghadapkan wajahku kepada-Mu dan aku sandarkan belakangku kepada-Mu karena mengharap dan takut kepada-Mu, tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari (ancaman)-Mu kecuali kepada-Mu, aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utus.

اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ[7]
Maksudnya: Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.

 

  • Buanglah sifat dengki dan maafkanlah orang lain sebelum tidur.
  • Membaca doa ketika bangun dari tidur

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Huzaifah RA:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ قَالَ ‏”‏ اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ ‏”‏‏.‏ وَإِذَا أَصْبَحَ قَالَ ‏”‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya: Adalah Nabi SAW jika mendatangi tempat tidurnya akan berdoa: “Allahumma bismika ahya wa amut”. Apabila bangun dari tidur berdoa: “Alhamdulillahillazi Ahyana ba`da Ma amatana wa ilaihi al-Nusyuur”.

Riwayat al-Bukhari (7394)

Tidur secara meniarap juga menurut kajian boleh membawa kepada masalah kesihatan. Kebanyakannya adalah melibatkan sakit tulang belakang. Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah-Nya untuk terus mengamalkan Sunnah Nabi SAW dalam setiap aspek kehidupan. Wallahu a’lam

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *