Inilah Maksud BERKEMAMPUAN Dalam Ibadah Haji Dan Umrah.

| August 1, 2018 | 0 Comments

Inilah Maksud BERKEMAMPUAN Dalam Ibadah Haji Dan Umrah. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Panggilan haji tiba lagi! Firman Allah dalam surah al- Haji: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) Mu dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis-jenis unta kurus (kerana lamanya perjalanan), yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

SOALAN

Apakah yang dimaksudkan dengan berkemampuan dalam ibadah haji dan apakah maksud berkemampuan dengan sendirinya dan berkemampuan dengan pertolongan orang lain?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Merujuk kepada persoalan di atas, berkemampuan yang dimaksudkan di sini ialah mampu menunaikan fardhu haji samada dengan sendirinya atau dengan pertolongan orang lain. Ini kerana ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” (Surah ali-Imran: 97)

Dan hadith daripada Umar RA, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.” Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)

Maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:

  1. Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
  2. Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
  3. Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
    Sihat tubuh badan.
  4. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. (Rujuk al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96, al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)

Manakala berkemampuan dengan pertolongan orang lain bermaksud seseorang itu telah cukup semua syarat untuk mengerjakan ibadah haji tetapi dia uzur kerana sakit dan tiada harapan sembuh atau terlalu tua dan orang yang telah meninggal dunia dan mampu mengerjakan haji semasa hayatnya. Maka mereka boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menunaikan fardhu haji bagi pihak dirinya. (al-Fiqh al-Manhaji, 2/124)

KESIMPULAN

Kami berpandangan bahawa, syarat berkemampuan yang telah ditetapkan oleh syara’ haruslah diteliti dan ditepati oleh mana-mana bakal haji bagi mengelakkan sebarang kesusahan dan keuzuran ketika melaksanakan ibadah haji. Ini kerana para jemaah haji memerlukan satu persiapan yang rapi sebelum melaksanakan ibadah haji agar haji yang dilaksanakan itu dapat dilakukan dalam keadaaan tenang dan tenteram.

Justeru, kami menyarankan kepada mana-mana jemaah haji untuk mempersiapkan diri dari segi jasmani dan rohani secara rapi sebelum berangkat menjadi tetamu Allah di Tanah Haram.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Wallahua’lam

 

Kredit : Mufti WP

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *