Kejayaan Safawi. Ibu Dedah Rahsia Solat Tahajud Taubat, Hajat, Dan Witir Setiap Malam.

| November 21, 2019 | 0 Comments

Kejayaan Safawi. Ibu Dedah Rahsia Solat Tahajud Taubat, Hajat, Dan Witir Setiap Malam. | Siapa sangka di sebalik kejayaan Safawi, ibu dedah rahsia amalan yang dilakukan sepanjang beberapa tahun ini. Baca selanjutnya.

IBU SOLAT SUNAT SETIAP MALAM DOAKAN KEJAYAAN SAFAWI

Ibu kepada pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid menjadikan amalan menunaikan solat sunat tahajud, taubat, hajat dan witir hampir setiap malam bagi memohon kejayaan dan keberkatan buat 13 anaknya.

Selemah Abu Bakar, 56, berkata, amalan tersebut akan bertambah sekiranya anak kesembilan itu terlibat dalam perlawanan selain mengamalkan zikir dan doa meminta ALLAH permudahkan urusan Safawi.

“Kalau ada game (perlawanan), lebihlah sikit buat contohnya biasa empat (rakaat) akan jadi enam. Mak cik biasa bangun awal pagi, buat solat sunat sementara menunggu Subuh.

“Sebelum perlawanan malam tu, pagi boleh buat solat Dhuha pula dan sentiasa berdoa supaya ALLAH berikan dia kemenangan dan kesihatan yang baik untuk bermain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurut Selemah, dia berbangga dan bersyukur kepada ALLAH SWT dengan kejayaan Safawi menewaskan pasukan Indonesia dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil Selasa lalu.

Menganggap Safawi sebagai anak yang baik dan banyak membantu keluarga, dia berharap pemain yang dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 baru-baru ini akan terus menempa kejayaan.

“Dengan mok, dia tak pernah kata ‘ih’, tak pernah kata ‘ah’. Bukan mak cik nak berbangga atau apa, sejak dari sekolah dia memang begitu.

“Kemenangan yang dicapai juga mungkin sebab dia banyak membantu keluarga dan orang lain yang memerlukan. Dia tidak pernah lokek, selalu hulurkan bantuan jika ada adik-beradik atau saudara susah,” katanya.

Bapanya, Rasid Sulong, 65, pula berkata, Safawi akan menghubungi dia dan isteri setiap kali sebelum perlawanan bermula bagi memohon restu dan ia menjadi amalan ketika mengikuti perlawanan sejak di bangku sekolah.

“Sebelum perlawanan, dia akan hubungi minta saya dan mak dia doakan dia dapat bermain dengan baik, dapat jaringkan gol kemenangan dan tidak bersikap kasar di padang.

“Saya pula nasihati dia supaya jaga solat, anak saya dari kecil saya terapkan supaya pentingkan solat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

BERKAT DOA IBU, SAFAWI HARUMKAN NAMA MALAYSIA

Skuad Harimau Malaya berjaya membenamkan Garuda 2-0 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Rembatan kegemaran kaki kiri, Safawi Rasid ternyata membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan dua gol kemenangan pada minit ke-29 dan 72 yang telah meletakkan Malaysia di kedudukan kedua dalam kumpulan.

Baru-baru ini, Safawi melalui laman Instagramnya telah memuat naik video memaparkan ibunya bersyukur setelah anaknya itu dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019.

Ibunya yang sebak dengan kejayaan Safawi turut mendoakan supaya Safawi dapat melakukan yang terbaik dalam perlawanan yang akan datang.

“Alhamdulillah anak ma dapat anugerah yang terbaik…ma bersyukur sangat pada ALLAH…semoga buat yang terbaik insya-ALLAH,” kata ibunya.

Safawi juga dalam video tersebut turut memuat naik posting memberitahu “Bermakna padaku. Terima kasih Ma (ibunya) dan keluargaku,” tulisnya di Instagram.

Perkongsian video tersebut kini tular di media sosial yang meraih 238,000 tontonan dan rata-rata netizen mengatakan kemenangan Safawi adalah berkat doa seorang ibu.

“Berkat doa ibumu Pawi mu berjaya mengharumkan nama Malaysia. Air mata itu berkat daripada ALLAH yang memberikan keizinan untukmu berjaya dalam sukan bola sepak. Teruskan usaha mu Pawi,” kata Amri Zul.

Dalam pada itu, Zainah Ramlie menulis “Patutlah dia merupakan pemain Malaysia yang dilihat berpotensi untuk pergi jauh dalam sukan bola sepak. Berkat ibumu Pawi kamu berjaya sehingga ke hari ini.”

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *