Lepas Lama Diam Diri. Anwar Dedah Punca Izzah Lepas Jawatan Naib Presiden PKR

| December 21, 2018 | 0 Comments

Lepas Lama Diam Diri. Anwar Dedah Punca Izzah Lepas Jawatan Naib Presiden PKR | Baru ni ahli Parlimen Nurul Izzah buat ramai terkejut bila tiba-tiba lepas jawatan Naib Presiden PKR. Lepas lama berdiam diri dan berteka teki akhirnya Anwar dedah punca tindakan drastik anaknya itu.

NURUL IZZAH SEORANG YANG BERANI DENGAN PENDAPAT DAN PRINSIP

Muak dan letih dengan perangai individu yang sibuk dengan politik kepartian antara sebab Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan Naib Presiden PKR.

Perkara itu didedahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bapa kepada Nurul Izzah.

Katanya, walaupun ramai yang menganggap keputusan itu terburu-buru dan gelojoh, namum ia konsisten dengan watak Nurul Izzah yang berani menyatakan pendapat dan prinsip.

“Saya telah berbincang bersama Nurul Izzah panjang lebar tentang niat beliau melepaskan semua jawatan. Bukanlah hak saya untuk memperincikan butiran perbincangan, tetapi yang jelas adalah ‘kerancakan perkembangan politik tanpa henti sejak sembilan bulan lalu’ membuatkan beliau mual dan lelah dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.

“Sebagai contoh, beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi Ahli-ahli Parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik, tetapi lebih parah adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, peletakan jawatan walaupun mendapat sokongan padu secara tidak langsung menunjukkan Nurul Izzah mengkritik pimpinan parti yang tamakkan kepentingan peribadi daripada kesatuan parti.

“Sejak 20 tahun lalu, semangat reformasi dalam diri Nurul Izzah tidak pernah luntur.Beliau bersama reformis-reformis lain tidak pernah berganjak mempertahankan prinsip meski ditujah pelbagai cabaran.

“Peristiwa 9 Mei sesungguhnya adalah suatu anjakan besar buat negara yang membawa pelbagai maksud, tetapi kejayaan kita dalam usaha perluasan dan pemekaran ruang demokratik tidak akan ada sebarang makna sekiranya agenda reformasi disabotaj,” katanya.

Tidak menafikan keputusan Nurul Izzah itu satu kehilangan besar buat PKR dan negara, Anwar berharap semua ahli dan rakyat menerimanya.

“Beri ruang secukupnya untuk beliau renungi dan mencatur kembali langkah beliau yang seterusnya.

“Saya amat yakin beliau akan terus komited terhadap rakyat dan bekerja untuk mereka dengan rasa tanggungjawab dan amanah,” katanya.

Selain Naib Presiden PKR, Nurul Izzah juga melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Menurut Nurul Izzah, beliau hanya mahu menumpukan tugas sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat jawatan dalam parti.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *