Selalu Terpanggil Nama Arwah Walaupun Sudah Dua Minggu Arwah Meninggalkan Kami. 

| February 24, 2019 | 0 Comments

Selalu Terpanggil Nama Arwah Walaupun Sudah Dua Minggu Arwah Meninggalkan Kami. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Sudah dua minggu Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd menghadap Illahi, namun ahli keluarganya masih merasakan kehadiran lelaki itu di kediaman mereka di Kuala Terengganu.

Abdul Bari

Adiknya, Siti Hairunnisa, 29, berkata, mereka masih merasakan arwah tidur di dalam biliknya dan beberapa kali terpanggil namanya (ketika di rumah), walaupun hakikat sebenar arwah sudah menemui Pencipta.

Katanya, bukan menidakkan qada dan qadar Allah SWT, tetapi sikap arwah yang mesra dengan keluarga dan sentiasa ceria menyebabkan mereka sunyi serta kerap teringatkan Abdul Bari Asyraf.

“Sebab itu kami sukar sikit menerima arwah sudah tiada kerana dialah penyeri dalam keluarga, kemesraannya dengan kami adik-beradik dan tanggungjawab, yang menyebabkan sentiasa rasa dia masih ada.

“Pernah ada ketikanya kami terpanggil namanya sama ada untuk meminta tolong atau sekadar bergurau kerana itulah rutin kami ketika dia masih ada.

“Malah ayah dan ibu pun berkeadaan serupa apabila mengetuk bilik tidur arwah untuk mengejutnya solat Subuh,” katanya yang ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Wira Pulau Warisan oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, hari ini.

Majlis diadakan pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Terengganu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK).

Hadir sama, ibu dan bapa Allahyarham Abdul Bari Asyraf iaitu Masitah Awang, 60, dan Mohd Mustafa, 66, serta lima lagi wira iaitu Omar Abdul Aziz Othman, 27, Saiful Anuar Mohd, 37, Shahrul Mizan Harun, 34, Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28, dan Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29.

Sementara itu, Masitah berkata, enggan menafikan perasaan sedih akibat pemergian arwah, malah memerlukan masa untuk mengubat kehilangan itu.

Namun, katanya, dia berbangga apabila anaknya pergi dalam keadaan yang sangat baik dan terpelihara darjatnya.

“Saya percaya arwah terjun ke sungai dengan satu niat, mahu menyelamatkan semua mangsa daripada lemas tanpa memikirkan kemungkinan lain yang boleh berlaku ke atas dirinya.

“Setahu saya, arwah pun tidak pernah main air apatah lagi berenang di sungai yang dalam, tetapi ketika kejadian, Allah menggerakkannya untuk terjun ke sungai itu. Ajalnya sudah ditetapkan di situ dan kami reda ketentuan Illahi,” katanya.

Allahyarham Abdul Bari Asyraf lemas selepas menyelamatkan wanita termasuk kanak-kanak tiga tahun yang terperangkap dalam Mitsubishi Storm selepas kenderaan itu mengelongsor ke dalam muara Sungai Terengganu, 9.40 malam, 8 Februari lalu.

Ketika kejadian, arwah bersama lima lelaki terjun ke sungai itu untuk membantu. Susulan tragedi itu arwah dan lima lelaki berkenaan dianugerahkan Wira Darul Iman oleh kerajaan negeri.

Kredit : My Metro

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *