Terkini Tabung Haji Umum Untung Bersih RM440 Juta Suku Pertama 2019

| May 13, 2019 | 0 Comments

Terkini Tabung Haji Umum Untung Bersih RM440 Juta Suku Pertama 2019. | Selepas diuruskan dengan baik oleh pengurusan baru, hari ni Tabung Haji umum untung bersih RM440 juta suka pertama 2019 sahaja. Alhamdulillah. Baca selanjutnya.

HASIL KEJAYAAN PENGURUSAN BARU YANG DILANTIK KERAJAAN PH

Lembaga Tabung Haji (TH) memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac tahun ini.

TH dalam satu kenyataan hari ini berkata, pencapaian itu dicapai hasil daripada kejayaan proses penstrukturan dan pemulihan yang dilaksanakan pada akhir Disember 2018.

“Kedudukan kewangan TH semakin kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.2 bilion, disokong oleh peningkatan prestasi portfolio pelaburan serta kualiti keseluruhan aset yang sihat setelah rosotnilai dibuat pada 2018.

“Pendapatan TH djangka akan terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan Sukuk oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun dan perlaksanaan proses pelarasan pelaburan baharu,” katanya.

Pada masa sama, TH turut mengumumkan bahawa lebih daripada 91,000 akaun simpanan baharu telah dibuka dalam tempoh tiga bulan yang berakhir pada 31 Mac tahun ini, seterusnya meningkatkan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 9.3 juta.

“Sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji, operasi perkhidmatan pengurusan simpanan kekal lancar tanpa sebarang gangguan pada suku tersebut.

“TH merekodkan simpanan baharu sebanyak RM4.3 bilion manakala pengeluaran sebanyak RM4.6 bilion,” katanya.

Sementara itu, memandangkan musim haji yang kian hampir, persiapan rapi giat dijalankan dalam suku tersebut, termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk memastikan perkhidmatan yang berkualiti kepada semua jemaah, katanya.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tahun ini, menurut TH adalah proses urusan prapelepasan di tanah air yang akan memendekkan tempoh menunggu di Terminal Haji Jeddah dan Madinah.

TH juga akan menyediakan khemah berhawa dingin di Arafah bagi memberi keselesaan beribadah serta menangani risiko gejala kesihatan akibat cuaca panas dan penyediaan sebahagian sajian hidangan sedia dimakan cita rasa tempatan semasa Masyair.

Penerbangan haji pertama bagi tahun ini dijadualkan berlepas pada 4 Julai depan dan penerbangan akhir pada 4 Ogos, tambahnya.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *