Polis akan memanggil 10 individu disyaki terlibat dalam insiden konvoi kereta mewah yang menghalang laluan di Lebuhraya Utara Selatan di susur keluar Sedenak, Kulai, Jumaat lalu.

10 Individu Libat Konvoi Kenderaan Mewah Dipanggil Beri Keterangan

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu terbabit akan dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, petang Selasa.

Beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow melakukan siasatan terperinci berhubung konvoi kenderaan mewah yang menghalang laluan pada 18 Mac lalu sehingga tular di media sosial.

Jelasnya, setakat ini polis sudah kenal pasti 10 individu berdasarkan siasatan dijalankan termasuk daripada rakaman kamera litar tertutup ( CCTV) yang menunjukkan nombor kenderaan di lokasi kejadian.

Menurut Kamarul Zaman lagi, polis akan membuka tiga kertas siasatan mengikut kesalahan iaitu merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada seorang wanita yang memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipercayai panik sebelum berlaku perlanggaran.

Beliau berkata, wanita berusia 28 tahun itu dipukul dan telah mendapatkan rawatan selepas kejadian.

Sebelumnya, Sinar Harian melaporkan polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes konvoi kereta mewah berhenti di Kilometer (KM) 34, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Sedenak sehingga menghalang lalu lintas pada jam 6.10 petang Jumaat lalu.

Wanita itu kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Beng Yeow memberitahu, kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah pacuan empat roda yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar salah sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri.

Tambahnya, akibat daripada pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply