Sebanyak 113 kes kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam Op Selamat setakat semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain.

113 Maut Dalam Nahas Jalan Raya Sempena Aidilfitri

Beliau berkata sepanjang enam hari Op Selamat yang dilancarkan pada 29 April lalu sempena musim perayaan Aidilfitri itu juga, sejumlah 9,816 kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Pada hari pertama operasi berkenaan, sebanyak 2,140 kemalangan direkodkan membabitkan 10 kematian dalam 10 kemalangan maut manakala pada semalam sahaja (hari keenam) sebanyak 1,455 kemalangan direkodkan membabitkan 24 kemalangan maut dengan 24 kematian, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 72 kematian, diikuti 30 pemandu dan penumpang kereta, enam pejalan kaki, dua kematian melibatkan pemandu dan penumpang van, dua kematian pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda serta satu pemandu atau penumpang teksi.

Razarudin berkata Selangor mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 2,160 kes, diikuti Johor (1,372 kes), Perak (982 kes), Kuala Lumpur (875 kes), Pulau Pinang (803 kes), Kedah (659 kes), Pahang (561 kes) dan Negeri Sembilan (507 kes).

Katanya Melaka pula mencatat 405 kes kemalangan diikuti Kelantan (484 kes), Sarawak (319 kes), Sabah (311 kes), Terengganu (303 kes) dan Perlis (75 kes).
“Jalan bandaran mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,876 kes, diikuti Jalan Persekutuan dengan 2,148 kes, jalan negeri (1,937 kes) dan lebuh raya (1,043 kes),” katanya.

Sepanjang tempoh itu juga katanya sebanyak 26,837 saman bagi enam kesalahan utama dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dengan kesalahan memandu melebihi had laju mencatatkan saman tertinggi iaitu 25,582 saman.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply