Seramai 13 murid tahun lima dan seorang guru wanita sebuah sekolah rendah, di sini, dikejarkan ke hospital selepas terdedah dengan sisa tumpahan cecair raksa, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.20 pagi memaklumkan mengenai kejadian terbabit.

“Sebuah jentera bomba dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati empat murid lelaki serta sembilan murid perempuan dan seorang guru wanita berusia 36 tahun terkesan akibat tumpahan cecair raksa dalam makmal sekolah terbabit,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa didapati mengalami kesan gatal dan dikejarkan ke Hospital Kulim.

“Kita turut memberikan rawatan awal kepada semua mangsa sebelum mereka dikejarkan ke hospital untuk tindakan susulan.

“Kerja-kerja pembersihan dilakukan di kawasan terjejas dan operasi tamat jam 12.40 tengah hari,” katanya.

Baca Juga: Rumah Hangus Dijilat Api, Empat Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka terbakar di Kampung Parit Mahang, Senggarang dekat sini kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam.

KEADAAN rumah mangsa yang terbakar di Kampung Parit Mahang, Senggarang dekat sini, hari ini. FOTO Ihsan pembaca.

Mangsa, Dolrasul Ahim, 72, berkata ketika kejadian dia dan isteri, Mariah Asmak, 68, berada di rumah manakala anak serta menantunya keluar bekerja.

“Sebelum kejadian saya sedang berehat di ruang tamu menonton televisyen dan isteri sedang menyiapkan bahan-bahan masak untuk makan tengah hari.

“Tiba-tiba siaran televisyen terpadam dan sedar api sudah mula marak dari bahagian tengah rumah.

“Kejadian begitu pantas dan api marak ke seluruh rumah menyebabkan saya dan isteri tidak sempat menyelamatkan dokumen penting di dalam bilik,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Dolrasul, isterinya turut cedera dan melecur di bahagian tangan dan tapak kaki akibat terkena api ketika cuba menyelamatkan diri.

“Semua harta benda termasuk sebuah motosikal, peralatan elektrik, dokumen penting, perabot, wang tunai dan barang kemas turut hangus terbakar.

“Kini kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana tiada satu apa pun dapat diselamatkan. Kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000,” katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa dan reda dengan ketentuan Allah atas musibah serta menganggap kejadian berkenaan memberi hikmah kepada mereka sekeluarga.

“Buat masa ini kami terpaksa menumpang di rumah saudara yang berdekatan buat sementara waktu.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak berwajib, pemimpin setempat, penduduk kampung serta orang ramai yang datang menyalurkan bantuan yang cepat dan memberi sokongan moral,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Penolong Penguasa Bomba Othman Mohd Baher berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.32 tengah hari kelmarin.

“Setiba pasukan operasi di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran membabitkan dan memusnahkan 90 peratus kediaman itu.

“Kebakaran juga membabitkan dua orang mangsa yang juga penghuni rumah itu dan salah seorang daripadanya mengalami melecur tahap satu di bahagian tangan dan kaki,” katanya.

Katanya, seramai sembilan anggota dari BBP Rengit, dua jentera FRT, satu utiliti kembara dan satu jentera EMRS dihantar ke tempat kejadian manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk berikan rawatan.

Share.

Leave A Reply