14 Tahun Jaga Ibu, Adik Kongsi Peribadi Arwah Mohd Sabri Semasa Hidup | “Sudah 14 tahun arwah menjaga ibu, arwah seorang yang sangat aktif dalam penerbangan,” kata Mohd Faris Baharon, 40.

Mohd Faris adalah adik kepada Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri berkata, abangnya itu yang mesra disapa dengan panggilan ‘Angah’ tidak pernah mengeluh menjaga ibunya, Intan Omar, 74.

“Walaupun dia seorang yang pendiam namun arwah sentiasa memaklumkan mengenai aktiviti yang dilakukannya.

“Saya juga sudah beberapa kali mengikutnya melakukan penerbangan, kali terakhir adalah penerbangan ketika Hari Malaysia yang lalu,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves di sini, hari ini.

Sementara itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Jeneral Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, Allahyarham Mohd Sabri adalah seorang juruterbang yang profesional.

“Arwah memiliki peringkat penerbangan yang tinggi, walaupun sudah meninggalkan TLDM kira-kira 10 tahun lalu dan dia sangat mengambil berat hal-hal berkaitan penerbangan di TLDM.

“TLDM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah,” katanya.

Terdahulu, jenazah Mohd Sabri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah pada 2.30 petang hari ini.

Allahyarham Mohd Sabri dibawa dari Masjid Khalid Al-Walid di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur dan tiba di pekarangan tanah perkuburan pada 2.10 petang.

Semalam akhbar melaporkan, Mohd Sabri dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, disahkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki terbabit kemalangan di udara dengan sebuah lagi helikopter sebelum terhempas di Jalan Melawati, Ampang pada 11.30 pagi.

Kedua-dua helikopter jenis G2CA itu dipercayai dalam penerbangan latihan dari Subang menuju ke Genting Sempah.

Sumber : Hmetro

Share.

Leave A Reply