18 Jam Lelaki Ini Terapung Di Laut.

| April 20, 2020 | 0 Comments

18 Jam Lelaki Ini Terapung Di Laut. | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan seorang nakhoda kapal dagang MV Harbour Naptune warga Indonesia yang hanyut di laut hampir 18 jam di kawasan perairan kira-kira 12.8 batu nautika di barat daya Pulau Panjang dekat sini semalam.

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah, berkata mangsa, Gunawan, 42, sedang terapung di tengah laut dengan memakai jaket keselamatan ketika ditemui pada 5.45 petang semalam.

Haris Fadzillah berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam laut pada kira-kira 10 malam 18 April lalu namun kehilangan beliau hanya disedari sekitar jam 3 pagi keesokannya apabila kru mendapati Gunawan tiada di biliknya semasa kapal hendak berlabuh di Pintu Gedung, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

“Justeru, operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dilaksanakan sebaik menerima aduan daripada ejen kapal yang memaklumkan seorang nakhoda kapal MV Harbour Naptune hilang dalam pelayaran dari Pelabuhan Pasir Gudang ke Pelabuhan Klang.

“Bot ronda Pengawal Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan yang terbabit dalam operasi carilamat mangsa menerima maklumat mangsa sudah ditemui sebuah kapal dagang yang melalui kawasan di mana beliau terapung dan bergegas ke lokasi berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Gunawan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Linggi bagi mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan lanjut termasuk ujian COVID-19 oleh petugas Jabatan Kesihatan namun mangsa tidak menunjukkan sebarang gejala dijangkiti wabak itu.

Katanya, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan, dilaporkan tidak memiliki sejarah perjalanan ke luar negara manakala kapal dagang terbabit hanya belayar di perairan Malaysia dan kesemua kru tidak turun ke darat sejak 18 Mac lalu sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Haris Fadzillah berkata, bagaimanapun, pihak ejen kapal dagang itu memaklumkan bahawa mangsa tetap akan menjalani kuarantin bagi mengelak jangkitan COVID-19.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat punca nakhoda kapal itu terjatuh dan jika terdapat unsur jenayah, kes akan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

Sumber : BH Online

Tags: , , , , , ,

Category: DUNIA, INFORMASI, KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *