2 Beradik Meninggal Dunia Selepas Dilanggar Oleh Lori Tangki Minyak. | KUANTAN: Kecuaian pemandu lori tangki minyak dipercayai punca dua beradik yang berasal dari Felda Lepar Hilir 1 di sini maut setelah kereta dinaiki mereka dilanggar kenderaan berat itu di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di sini malam tadi.

Dua beradik meninggal dunia

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Siti Mazurah Zulkifli, 30, yang merupakan seorang pramusaji dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, yang bekerja sebagai jurujual meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori terbabit dikatakan datang dari arah Muadzam Shah, Rompin menuju ke stesen minyak Petron Gambang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu lori hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan tersebut, kedua mangsa dalam kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari juga berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan dipandu sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku.

“Pemandu lori terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan. Keputusan ujian air kencing terhadap lelaki itu negatif dadah. Keterangan pemandu lori berkenaan sudah diambil dan lori dipandu akan di bawa ke Puspakom untuk pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 11.21 malam.

Beliau berkata, susulan maklumat diterima, lapan anggota bomba pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas dibantu BBP Indera Mahkota ke lokasi untuk operasi menyelamat mangsa kemalangan terlibat.

Sumber : UM

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

[VIDEO] Tiga Penyamun Pecah Masuk Rumah Hanya Untuk Curi Makanan

Kuching: Sekumpulan tiga penyamun memecah masuk sebuah rumah di Jalan Stampin Tengah, di sini, Sabtu lalu hanya untuk mencuri makanan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, hasil dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan mendapati, tiga suspek bertopeng dikesan menceroboh bahagian dapur kira-kira 6 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit mencuri pelbagai jenis makanan dari rumah berkenaan.

“Hasil maklumat risikan, kira-kira 5.20 pagi semalam pasukan Task Force Counter AggresiveTeam (CAT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terbabit dalam kes itu.

“Hasil semakan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ahsmon berkata, saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya, polis turut menemui sembilan peralatan memecah rumah antaranya tukul, pemotong besi, playar, pemutar skru, pengumpil, gunting dan parang.

“Ketika ini polis sedang giat mengesan dua lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, denda serta sebat.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply