2 Beranak Ditahan Polis Bawa Dadah Bernilai Lebih RM23 Juta. Gerik: Cubaan sindiket dadah menggunakan trak tunda untuk menunda kenderaan mewah Toyota Alphard yang memuatkan dadah bernilai lebih RM23 juta di dalamnya gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Trak tunda dinaiki dua beranak berusia 27 dan 58 tahun berasal dari Ketereh, Kelantan itu ditahan polis dalam Ops Tapis di Kilometer 7, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat sini jam 6 petang semalam selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata pemeriksaan lanjut dalam kenderaan mewah itu menemukan 447 bungkusan dadah bernilai RM23,728,850.

“Kita temukan methamphetamine seberat 403,705 gram bernilai RM20,185,250 diletakkan dalam 404 bungkusan dan ketamin seberat 44,295 gram bernilai RM3,543,600 diisi dalam 43 bungkusan.

“Kita juga merampas wang tunai berjumlah RM19,672 dan kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, ketika ditahan, pemandu trak tunda itu menyerahkan kunci Toyota Alphard kepada anggota polis namun tidak dapat membuka pintunya.

“Semakan lanjut dalam sistem PDRM mendapati kenderaan itu didaftarkan atas kereta jenis Proton Preve. Anggota polis kemudian menghubungi tukang kunci untuk membuka pintu hadapan kenderaan itu sebelum menemukan dadah di bahagian belakang Toyota Alphard itu,” katanya.

Katanya, kedua-dua beranak itu tidak mengaku dadah berkenaan milik mereka malah mendakwa tidak tahu apa yang ada dalam kenderaan mewah itu.

“Si anak yang juga pemandu trak tunda itu mendakwa menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali yang mahu menggunakan perkhidmatan trak tunda mereka dengan bayaran RM1,200 untuk dihantar ke Kuala Kangsar.

“Lelaki terbabit mengarahkan dua beranak itu untuk pergi ke Jalan Lubuk Jong, Pasir Mas, Kelantan sebelum menyerahkan bayaran dan kenderaan itu untuk dihantar ke Kuala Kangsar,” katanya memaklumkan, dua beranak itu tidak mengeluarkan sebarang resit selain mengambil butiran lelaki terbabit.

Anuar berkata, siasatan terhadap kedua-dua suspek akan diteruskan lagi bagi mendapat maklumat lanjut berkaitan kegiatan sendiket pengedaran dadah itu.

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply