2 Daerah Lagi Dikenakan PKP Bermula 19 Januari-1 Februari.

| January 18, 2021 | 0 Comments

2 Daerah Lagi Dikenakan PKP Bermula 19 Januari-1 Februari. | KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan bermula 19 Januari (esok) sehingga 1 Februari 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) susulan terdapat peningkatan kes COVID-19 yang sangat tinggi dan mendadak dalam tempoh 14 hari yang lalu.

“Bagi daerah Seremban, KKM mengesahkan kadar insiden jangkitan di daerah ini sangat tinggi dan berlaku peningkatan kes secara ketara dalam tempoh 14 hari iaitu dari 777 hingga 876 kes.

“Selain itu, kebanyakan mukim di Seremban juga adalah zon merah iaitu tujuh daripada sembilan mukim. Bilangan kes yang dilaporkan dalam masa 14 hari di tujuh mukim adalah dalam lingkungan 56 hingga 283 kes.

“Di Port Dickson pula, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak dalam tempoh 14 hari yang melibatkan beberapa kluster iaitu daripada 35 kepada 167 kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, pelaksanaan PKP adalah bagi mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti dan mengawal pergerakan di kedua-dua daerah berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di enam negeri zon merah untuk tempoh 14 hari mulai 3 hingga 26 Januari, 2021.

Ia melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara itu, di Sibu, Selangau serta Kanowit, Sarawak dan seluruh Kelantan pula, PKP dikuatkuasakan mulai 16 hingga 29 Januari ini.

Sumber : Astro Awani

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KESIHATAN, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *