2 Pekebun BERANG Kelapa Sawit Dicuri. Ini Tindakkan Mereka. | KLUANG – Dua pekebun yang berang selepas mengetahui buah kelapa sawit di ladang tempat mereka bekerja dicuri empat lelaki, bertindak membakar sebuah lori dengan muatan kelapa sawit di Jalan Parit 5, Sungai Limau, Simpang Renggam dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sebelum itu kejadian tersebut disedari berlaku pada jam 8.30 pagi apabila penyelia ladang masuk ke kawasan ladang dan menemui kesan buah kelapa sawit sudah dipotong.
Menurutnya, perkara tersebut kemudian dimaklumkan kepada anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 11 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Renggam telah membuat rondaan dan ternampak empat lelaki sedang memunggah buah kelapa sawit dari lori yang terbakar di ladang itu.
“Menyedari kehadiran pihak polis, suspek melarikan diri. Seorang daripadanya berjaya ditangkap dan hasil soal siasat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang berjaya menahan tiga lagi suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bahrin berkata, semua suspek mengaku mencuri buah kelapa sawit dari ladang PPSB Simpang Renggam itu dan semakan ke atas lori berkenaan mendapati milik syarikat swasta yang didaftarkan di Johor Bahru.
Katanya, semua suspek yang bekerja sebagai buruh masing-masing berusia 30-an beralamat di Simpang Renggam dan daerah ini dengan tiga daripadanya mempunyai 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine, sementara kerugian dianggarkan RM300 dan polis juga merampas lori dan buah sawit berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, menurut beliau, dua pekebun berusia 40 dan 50-an yang membakar lori muatan sawit tersebut turut ditahan.
“Mereka bertindak membakar lori berkenaan kerana marah buah sawit dicuri. Kedua-dua pekebun itu mengakui berada di tempat kejadian semasa kejadian berlaku,” katanya.
Tambahnya, semua enam suspek berkenaan ditahan reman selama empat hari sehingga 16 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA
Ibu Tikam Leher Anak OKU Dan Bunuh Diri. | MELAKA – Seorang wanita ditemui maut dipercayai menikam dirinya sendiri menggunakan pisau selepas cuba membunuh anak lelakinya yang juga orang kelainan upaya (OKU) dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Kota Laksamana di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, lelaki OKU (mental) berusia 26 tahun berkenaan bagaimanapun terselamat, namun mengalami kecederaan di bahagian leher akibat ditikam.
MANGSA MENELEFON NENEKNYA
Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, kejadian itu diketahui selepas pemuda tersebut menelefon neneknya memberitahu lehernya telah ditikam oleh si mati.
Katanya, dia bersama beberapa ahli keluarga lain termasuk nenek mangsa, iaitu ibu kepada si mati telah bergegas ke lokasi dan mendapati pemuda berkenaan telah keluar dari rumah dalam keadaan baju berlumuran darah.
“Kami kemudian telah masuk ke dalam rumah bersama-sama mangsa untuk menukar bajunya dan terlihat ibunya tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di bahagian ruang tamu.
IBU SURUH TELAN PARASETAMOL
“Mangsa beritahu ibunya telah menyuruhnya menelan sejumlah parasetamol dan tidur dalam keadaan tidak berbaju sebelum kemudian tiba-tiba menikam lehernya menggunakan pisau,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, hari ini.
Tambahnya, si mati yang berusia 56 tahun selepas itu dikatakan menikam perutnya sendiri sehingga rebah dan dipercayai meninggal dunia.
“Sebelum kejadian sikap ibunya berubah menjadi pendiam dan tidak mahu mendengar apa yang ahli keluarga cakap, seperti tertekan.
“Kami syak dia ingin pergi (mati) bersama anaknya, dia seorang ibu tunggal dan mempunyai dua anak dengan mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik, sulung berusia 28 tahun,” katanya.
Ujarnya, si mati bekerja sebagai guru tadika dan tinggal berdua bersama anak OKU berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber : Kosmo