2 Penyamun Berparang M4ut Ditembak Polis Sebelum Sempat Pecah Masuk Rumah | Kuala Lumpur: Dua penyamun bersenjatakan parang maut ditembak polis sebelum sempat memecah masuk sebuah rumah di sekitar Lorong Jintan, Taman Supreme, Cheras di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 3.30 pagi itu polis menerima maklumat awam berkaitan pergerakan mencurigakan empat lelaki disyaki warga asing di kawasan berkenaan.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang sedang membuat rondaan diarahkan membuat pemeriksaan di lokasi terbabit.

Tiba di lokasi, empat penyamun dianggarkan berusia antara 30-an ke 40-an itu cuba menyerang anggota polis menggunakan parang.

Anggota polis yang cuba mempertahankan diri terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek dan membunuh dua daripada mereka, manakala dua lagi suspek melarikan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menemui beberapa peralatan dipercayai untuk kegiatan pecah rumah termasuk pemotong besi dan parang.

“Buat masa ini kita sedang siasat pembabitan mereka. Selepas kita buat siasatan lanjut dan kenal pasti identiti mereka baru kita boleh tahu siapa dia (suspek) dan kaitkan dengan kes-kes lain.

“Kita dapat maklumat kemungkinan besar mereka ini empat orang… dua melarikan diri guna sebuah kereta dengan nombor plat palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal tidak menjumpai sebarang senjata api pada kedua-dua suspek terbabit.

Katanya, usaha mengesan saki-baki suspek yang dipercayai warga asing itu sedang giat dijalankan.

Sumber: Harian Metro

 

Baca Juga: Lelaki M4ti Ditembak Polis Selepas Ancam Bunuh Ibu Kandung | BAGAN DATUK: Seorang lelaki mati ditembak polis selepas menjadikan ibu kandung sebagai tawanan dan mengancam membunuh mangsa dengan parang, ketika cuba mengelak ditahan dalam kejadian di Kampung Teluk Kompol Hutan Melintang di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata Polis Daerah Hilir Perak menerima laporan ahli keluarga lelaki berusia 44 tahun di bawah pengaruh dadah, yang bertindak agresif pada jam 10 pagi semalam.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota jabatan jenayah narkotik dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

“Setibanya di lokasi, polis memujuk suspek untuk memberikan kerjasama, namun dia enggan dan bertindak agresif.

“Suspek kemudiannya mengugut untuk menetak dan mencederakan ibunya yang berusia 72 tahun. Suspek turut meletakkan parang di tengkuk mangsa ketika menuntut polis beredar.

“Pihak polis secara berhati-hati, memotong pintu jeriji yang dikunci dari dalam oleh suspek menggunakan pemotong besi. Namun, suspek yang menyedari polis memasuki rumah itu, bertindak menolak ibunya sehingga jatuh dan pengsan serta menghayun parang ke arah polis yang cuba menangkapnya.

“Dalam keadaan ancaman nyawa yang dihadapi, anggota polis melepaskan satu das tembakan ke arah suspek yang terkena di bahagian bahu kiri menyebabkan lelaki itu rebah ke lantai dan mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, polis menghubungi ambulans ke tempat kejadian bagi membantu suspek dan mangsa yang cedera.

“Walau bagaimanapun, suspek disahkan meninggal dunia sebaik pihak perubatan tiba di lokasi.

‘Mayat suspek dibedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh hari ini, sementara siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh serta kematian mengejut (SDR),” katanya.

Beliau berkata, suspek adalah seorang duda yang bekerja sebagai buruh kampung yang mengusahakan kebun sawit seluas satu ekar milik keluarga di belakang rumah ibunya.

“Siasatan awal mendapati, suspek memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply