21 Rakyat Palestin Terkorban Dalam Serangan Di Gaza | ENAM rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, terbunuh di Gaza pada Rabu, hari kedua Israel melancarkan serangan bom.
Sementara itu, Palestin bertindak balas dengan melepaskan puluhan roket ke arah Israel, menyasarkan bandar-bandar besar termasuk Tel Aviv.
Bermula tengah hari Rabu waktu tempatan, jet pejuang Israel melancarkan serangan udara di beberapa lokasi di seluruh Gaza, termasuk di Rafah, Khan Younis dan Beit Lahia.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh, menjadikan jumlah kematian sebanyak 21, sejak Israel mula menyerang pada Selasa.
Angka itu termasuk tiga tentera kanan dan lima kanak-kanak.
Sekurang-kurangnya 64 yang lain tercedera, menurut laporan Middle East Eye.
Pihak bersenjata di Gaza melancarkan roket ke arah Israel, menyasarkan Tel Aviv, Sderot, Ashkelon dan kawasan lain di tengah dan selatan.
Bagaimanapun, tiada laporan membabitkan kematian di Israel setakat ini.
Timbalan Jurucakap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Farhan Haq dalam taklimat media di New York berkata, setakat pagi Rabu, pihaknya mengesahkan 15 rakyat Palestin maut termasuk 10 orang awam.
Mereka terdiri daripada tiga kanak-kanak perempuan, seorang kanak-kanak lelaki, empat wanita dan dua lelaki dewasa.
Katanya, PBB pada masa sama sedang cuba mengesahkan angka kematian tambahan.
Menurutnya, lintasan sempadan dengan Gaza telah ditutup, menghalang 600 trak yang membawa makanan, bekalan perubatan dan bahan api daripada masuk.
Tambahnya, Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Asia Barat, Tor Wennesland akan berusaha memastikan tiada peningkatan konflik dan semua pihak melaksanakan kawalan maksimum.
Sumber: AWANI
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Remaja Palestin [email protected] Ditembak Tentera Israel, 216 Orang Lagi Cedera
Remaja Palestin [email protected] Ditembak Tentera Israel, 216 Orang Lagi Cedera | Sekurang-kurangnya 216 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di Nablus, Tebing Barat, menurut pasukan perubatan Palestin semalam.
Sebelum itu, seorang remaja lelaki Palestin terkorban dengan mangsa, Mohammed Fayez Balhan, 15, terkena tembakan di kepala, dada serta perut.
Persatuan Bulan Sabit Merah dalam kenyataan memaklumkan, pertempuran dengan penunjuk perasaan di Kampung Beita menyebabkan 22 orang ditembak dengan peluru getah, sementara puluhan terkena gas pemedih mata.
Pertempuran itu selepas lapan menteri Israel, 20 ahli parlimen Israel dan lebih 17,000 peneroka haram berarak ke Avatar, pos haram di utara Tebing Barat untuk menuntut pengesahan kependudukan.
Ghassan Daghlas, wakil Palestin yang menguruskan hal ehwal pendudukan di utara Tebing Barat memberitahu Xinhua yang ribuan peneroka Israel menganjur “perarakan provokatif ke arah luar pos Avatar dekat bandar Nablus.”
Rakyat Palestin mengibar bendera, melaungkan slogan menentang Israel, membakar tayar dan membaling batu ke arah tentera Isreal, yang kemudian menembak gas pemedih mata dan peluru getah.
Jurucakap Presiden Palestin Nabil Abu Rudeineh dalam kenyataan berkata, Palestin mengutuk perarakan peneroka haram berkenaan yang turut disertai menteri kerajaan Israel.
Beliau berkata, pencerobohan peneroka tidak mengubah hakikat bahawa ia adalah tanah Palestin dan akan kekal begitu, dan bahawa pencerobohan ini, yang datang dengan kekerasan senjata, tidak juga mewujudkan hak.
Abu Rudeineh menganggap kerajaan Israel bertanggungjawab ke atas serangan harian peneroka dan askar Israel ke atas Palestin, dan “tindakan berdiam Amerika Syarikat (AS) menggalakkan pendudukan (Israel)”, serta menyeru campur tangan segera untuk menghentikannya.
Menteri Pertahanan Israel Itamar Ben-Gvir ketika berucap pada perarakan itu berkata, matlamat mereka adalah “untuk mengatakan bahawa negara Israel kuat” dan bahawa “kita adalah di sini dan akan kekal di sini”.
Perarakan itu berlaku di tengah-tengah keganasan yang semakin meningkat antara warga Israel dan Palestin, yang dicetuskan oleh serbuan polis Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa minggu lalu.
Sumber: Harian Metro