29 Ditahan Susulan Kes Tembak Depan Sekolah Di Banting | Polis sudah menahan 29 individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan gengster serta jenayah terancang menerusi Ops Blackjack, baru-baru ini, susulan kes tembakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting, 25 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, susulan kejadian tembak dan langgar pelajar di hadapan sekolah berkenaan, JSJ Selangor dan JSJ Bukit Aman melaksanakan operasi itu secara besar-besaran.

“Dalam operasi itu, polis pada mulanya menahan 19 suspek disyaki terbabit aktiviti gengsterism serta jenayah terancang dan siasatan susulan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Seterusnya, 10 individu lagi ditangkap menjadikan keseluruhan 29 suspek ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil berkata, kertas siasatan sudah pun dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 27 Oktober lalu untuk menilai dan mengkaji bagi melaksanakan pertuduhan ke atas semua suspek.

“Polis berharap kejayaan menuduh suspek ini akan dapat mengekang, seterusnya menghapuskan aktiviti berunsurkan gengsterism dan jenayah terancang sekitar Banting, Kuala Langat dan Selangor keseluruhannya,” katanya.

Pada 25 September lalu, media melaporkan sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan sekolah itu pada tengah hari.

Dua lelaki terbabit dipercayai ditembak dua individu yang menaiki sebuah motosikal. Mangsa yang cedera terkena tembakan itu adalah seorang pengawal peribadi dan majikannya.

Sumber : HMetro

Share.

Leave A Reply