3 Beradik Lemas Di Terengganu. Ini Luahan Bapa Yang Buat Ramai Sebak. Alfatihah.

| May 28, 2020 | 0 Comments

3 Beradik Lemas Di Terengganu. Ini Luahan Bapa Yang Buat Ramai Sebak. Alfatihah. | “SEJAK bekerja membawa kenderaan jenazah, saya sudah menghantar hampir 40 jenazah ke tanah perkuburan tetapi kali ini saya tidak ada daya untuk berbuat demikian… semangat saya menjadi lemah,” kata Mohd Ismail, 64, bapa kepada tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu, dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, semalam.

Mohd berkata, dia berasa sebak apabila melihat tiga keranda di ruang tamu rumah dan tidak berupaya untuk membawa sendiri jenazah anak ke tanah perkuburan.

Dia bagaimanapun tetap reda dengan pemergian mengejut ketiga-tiga anak dan bersyukur kerana usaha pasukan keselamatan mencari mayat ketiga-tiga mereka selesai dalam masa yang singkat.

“Saya reda kerana orang kata mati lemas jadi syahid dan hadiah untuk mak ayah. Sebalik yang buruk ada baiknya,” katanya.

Mayat Umar Iskandar, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16, ditemui antara jam 9.50 pagi hingga 12.40 tengah hari.

Mohd yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Berang berkata, tiga anak terbabit menjadi harapan keluarga dan anak yang baik serta bertanggungjawab.

Menurutnya, Allahyarham Umar yang menuntut di Universiti Malaya (UM) bercita-cita menjadi pakar matematik, Allahyarham Khalif Naim pula belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang mahu menjadi kadi, bagaimanapun Allahyarham Khairil Firdaus tidak berkongsi cita-citanya.

“Saya nampak kesungguhan mereka belajar dan saya selalu mengingatkan mereka supaya belajar bersungguh-sungguh kerana kita orang susah,” katanya yang menjadi pemandu kereta jenazah dan pengurusan masjid sejak menamatkan perkhidmatan dengan TNB kira-kira empat tahun lalu.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi memberi bantuan kewangan dan semangat serta pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus sepanjang operasi.

Jenazah tiga beradik itu selamat tiba di pekarangan rumah keluarganya pada 4 petang hari ini.

Jenazah disembahyangkan di rumah keluarganya sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung di Marang untuk dikebumikan dalam satu liang lahad berhampiran pusara ibu mereka.

Sumber : MyMetro

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *