3 Beranak Maut Dalam Kemalangan. | TANGKAK – Seorang ibu menemui ajal bersama anak serta cucunya dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 44.5 Jalan Muar-Segamat di sini, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II (PBK) K Kumar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.19 petang.

Kaanya, seramai 15 anggota dari BBP Tangkak dan BBP Segamat dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan dua Perodua Myvi dan sebuah kenderaan utilliti sukan (SUV) Mazda CX5 serta seramai enam orang mangsa.

“Terdapat empat mangsa dalam Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan dengan dua daripada mangsa Siti Fatimah Ladri, 71, dan Nor Haliza Hamzah, 36, tersepit di tempat duduk,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kumar, pihak bomba mengeluarkan dua mangsa terbabit dengan menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Kedua-duanya mempunyai pertalian darah ibu dan anak serta telah diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Selain itu, dua lagi mangsa di dalam Perodua Myvi berkenaan, Harunarashid Ghazali, 34, dan anak lelakinya, Aarish Ammar, 2, yang merupakan suami dan anak kepada Nor Haliza Hamzah cedera dan dihantar ke Hospital Tangkak di sini.

Kumar berkata, pemandu sebuah lagi Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran Johor, Khoo Ling Wei, 26, dan pemandu Mazda CX5, Muhammad Loqman, 26, terselamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Myvi berwarna gelap dinaiki mangsa maut dirempuh dari arah bertentangan oleh dua kenderaan tersebut.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun yang parah telah dibawa ke Hospital Daerah Tangkak (HDT) untuk rawatan lanjut.

“Malangnya mangsa meninggal dunia pada pukul 5 petang semalam yang merupakan anak dan cucu kepada mangsa maut di tempat kejadian.

“Siasatan masih diteruskan dan keterangan mangsa lainnya sedang dikemaskini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply