3 Beranak Maut Dalam Kemalangan.

| June 29, 2021 | 0 Comments

3 Beranak Maut Dalam Kemalangan. | DUNGUN: Tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 25, Jalan Paka-Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu, Mohd. Zuki Yusof, 44, yang merupakan guru besar Sekolah Kebangsaan Ketengah Jaya 2 bersama isterinya, Nur Farraheeda Ali Khan, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Anak pasangan itu, Nasyreen Umayra Mohd. Zuki pula menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya kira-kira pukul 6.20 petang.

Seorang lagi anak mereka, Damia Irdina, 13, yang turut parah kini menerima rawatan di Hospital Dungun.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Subaru yang dipandu Mohd. Zuki dari arah Paka tiba-tiba hilang kawalan ketika di selekoh hingga menyebabkan kenderaan tersebut bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan.

Akibat pelanggaran itu, kenderaan empat beranak berkenaan remuk dengan mangsa tersepit dan terpaksa dikeluarkan pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar AMBS, Zul Husni Abdul Rahman berkata, enam anggota ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.14 petang.

“Bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia yang tersepit di tempat duduk hadapan,” katanya.

Sumber : UM

Tags: , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *