3 Lagi Kes Positif Covid-19 Di Sarawak.

| June 16, 2020 | 0 Comments

3 Lagi Kes Positif Covid-19 Di Sarawak. | KUCHING: Tiga lagi kes positif COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini dengan semuanya dikesan di Bintulu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ketiga-tiga kes adalah daripada satu keluarga yang mempunyai kontak rapat dengan seorang pelajar perempuan yang disahkan positif COVID-19, Ahad lalu.

“Semua kes itu disahkan positif COVID-19 hasil saringan dan pengesanan kontak kepada kes ke-557 di Sarawak. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak kini adalah seramai 560 orang,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan COVID-19 Sarawak, hari ini.

Kes ke-557 itu adalah pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Mukah yang balik ke kampungnya di Bintulu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada pertengahan Mac lalu.

Hasil siasatan awal mendapati pelajar terbabit pernah menerima kunjungan saudara mara pada perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Justeru, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu berusaha mengesan semua kontak rapat kepada pelajar terbabit.

Katanya lagi, tiada kes baru yang sembuh dan discaj dari hospital hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang sembuh kekal seramai 534 orang.

“Jumlah yang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi adalah seramai sembilan orang,” katanya.

Pandemik COVID-19 meragut 17 nyawa di Sarawak dengan korban pertama membabitkan seorang lelaki berusia 60 tahun pada 17 Mac lalu.

Sumber : BH Online

Tags: , , , , , , , , ,

Category: DUNIA, INFORMASI, KELUARGA, KESIHATAN, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *