3 Maut Dalam Kemalangan Membabitkan 5 Kereta Dan 3 Lori.

| December 28, 2020 | 0 Comments

3 Maut Dalam Kemalangan Membabitkan 5 Kereta Dan 3 Lori. | KLUANG – Tiga maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan lima kereta dan tiga buah lori di kilometer 85.5 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, berhampiran Plaza Tol Machap di sini pada Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah utiliti Pajero dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita dapati berlaku kemalangan melibatkan lapan kenderaan iaitu kereta Hyundai Elantra, Naza Citra, Perodua Bezza, Volkswagen Tiguan, Perodua Alza, lori Hicom tiga tan, lori Hino 10 tan dan lori Nissan satu tan. Mangsa yang cedera pula dikeluarkan oleh orang awam,” katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, kemalangan yang berlaku kira- kira jam 3.40 petang itu menyebabkan dua mangsa Wong Fook Onn, 55, dan Chong Yoke Choo, 52, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi dikenali sebagai Tan Saw Ngo, 55, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga lagi penumpang yang menaiki kereta Hyundai Elantra berada di belakang dua buah lori.

Menurutnya, empat lagi kereta berhenti di lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Machap ketika semua kenderaan dalam perjalanan dari arah Simpang Renggam ke Ayer Hitam.

“Ketika menunggu di lampu isyarat, sebuah lori Hino 10 tan yang datang dari arah belakang hilang kawalan sebelum merempuh kereta mangsa serta enam lagi kenderaan yang berada di hadapan.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam,” katanya

Menurut Hang Seng, mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk proses bedah siasat.

“Lapan mangsa lain yang turut mengalami kecederaan dihantar ke hospital sama dan klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

Sumber : SH

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *