30 Tahun Larikan Diri, Penjenayah Paling Dikehendaki Akhirnya Diberkas | Seorang lelaki di negeri Haryana yang disenaraikan sebagai penjenayah paling dikehendaki di India, akhirnya diberkas selepas 30 tahun dia melarikan diri daripada polis atas pelbagai tuduhan jenayah, lapor akhbar Saudi Gazette, kelmarin.

Om Prakash atau dikenali sebagai Pasha bersembunyi di negeri jiran Haryana, Uttar Pradesh. Dia menukar identitinya dan melakukan pelbagai pekerjaan.

Sepanjang 30 tahun menjadi pelarian, Pasha pernah menjadi pemandu lori, terlibat dalam kumpulan nyanyian keagamaan, malah berlakon dalam 28 filem tempatan.

Bekas tentera darat India itu juga turut menjalani kehidupan baharu dengan dokumen rasmi, mengahwini seorang wanita di Uttar Pradesh dan memiliki tiga anak.

Pasha kini dalam tahanan polis, namun, pihak berkuasa masih belum memperincikan tuduhan jenayah terhadapnya.

“Dia belum mengeluarkan sebarang pengakuan tetapi menyalahkan konconya berhubung jenayah pembunuhan pada tahun 1992 itu,” kata Sub-Inspektor Vivek Kumar dari Pasukan Petugas Khas (STF) Haryana.

Lelaki itu dituduh dalam beberapa siri jenayah termasuk rompakan dan pembunuhan sekitar tahun 90-an.

Isteri baharu Pasha, Rajkumari dan dua daripada tiga anak mereka iaitu seorang anak lelaki berusia 21 tahun dan anak perempuan berusia 14 tahun masih terkejut dengan apa yang diberitahu oleh pihak polis.

“Saya masih terkejut dan tidak tahu apa-apa tentang masa silam suami yang didakwa sebagai penjenayah,” kata Rajkumari yang berkahwin dengan Pasha pada 1997.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply