300 Penghuni Hilang Tempat Tinggal, Rumah Panjang Hangus | Kira-kira 300 penghuni satu blok rumah panjang di penempatan semula Uma Bakah, Sungai Asap di Belaga, hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran memusnahkan 15 unit kediaman di rumah panjang Uma Bakap, Belaga, hari ini. - Foto ihsan pembaca

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang.

Beliau berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

Beliau juga berkata, lokasi kejadian dari Belaga adalah sejauh 95 kilometer dan ketika ini (jam 3.15 petang) anggota masih dalam perjalanan ke sana.

Sementara itu, Kennedy Chukpai Ugon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, berkata kebakaran itu memusnahkan semua 15 unit kediaman di Blok F di skim penempatan semula itu.

Chukpai yang juga seorang penduduk di Uma Bakap berkata, keseluruhannya lebih 20 blok dengan jumlah rumah lebih 300 di skim penempatan semula penduduk yang dipindahkan dari kawasan Empangan Hidro Elektrik Bakun itu.

Penduduk itu juga berkata, nasib baik semua penduduk selamat dan kebakaran itu pula berlaku di blok paling hujung, jika berlaku di blok tengah, mungkin kemusnahan lebih besar berlaku.

Katanya yang berada di Kuching bahawa lega apabila difahamkan penduduk beramai-ramai berusaha menghalang kebakaran itu daripada merebak ke blok lain.

Menurutnya lagi, beliau berusaha untuk segera ke lokasi, namun menghadapi masalah penerbangan ke Bintulu.

Beliau berkata, hanya akan ke sana esok menaiki penerbangan awal pagi ke Bintulu sebelum menaiki pikap dalam tempoh kira-kira lima jam untuk sampai ke lokasi.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

Rumah Hangus Terbakar, Tiga Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang

Tiga beranak hilang tempat berteduh apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran di Jalan Datuk Langgar, Serkam Darat, di sini, awal pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd. Farid Abu Bakar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.23 pagi.

Katanya, sepasukan 13 anggota dikejarkan ke lokasi bersama-sama dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi kita dapati benar terdapat sebuah rumah telah terbakar 90 peratus dan kerja-kerja pemadaman dilakukan.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 5.11 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 8.45 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, rumah tersebut didiami tiga beranak termasuk seorang warga emas, namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

“Rumah itu didiami tiga beranak iaitu seorang warga emas berusia 70 tahun dan dua anaknya dengan anggaran usia 20-an dan 30-an.

“Kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Ujarnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sumber : Kosmo

 

Rumah Berharga RM7.61 Juta Hangus Dalam Kebakaran Kerana Ular.

Rumah Berharga RM7.61 Juta Hangus Dalam Kebakaran Kerana Ular. | MARYLAND: Seorang penduduk di Maryland yang cuba mengusir keluar ular daripada rumahnya dengan menggunakan asap dari bara api, dilaporkan secara tidak sengaja membakar kediamannya.

Tindakan pemilik rumah berkenaan menyebabkan kediamannya bernilai AS$1.8 juta (RM7.61 juta) di Dickerson, Maryland itu hangus dalam kebakaran.

Lapor Daily Mail, pegawai penyiasat berkata, pemilik itu menggunakan arang untuk menyalakan api dalam usaha mengusir reptilia tersebut, namun tanpa disedari meletakkannya terlalu dekat dengan bahan mudah terbakar lalu mencetuskan kebakaran.

Kejadian kebakaran itu berlaku pada 23 November lalu, kira-kira pada pukul 10 malam (waktu tempatan).

Memetik laporan WJLA, kebakaran bermula di ruang bawah tanah kediaman bertingkat itu sebelum merebak ke seluruh bahagian rumah.

Apabila kira-kira 75 anggota bomba sampai di lokasi kejadian, sebahagian struktur kediaman dan bumbung rumah runtuh dalam kebakaran tersebut.

Pasukan bomba berhadapan kesukaran ketika memadamkan kebakaran kerana ketiadaan pili bomba di hartanah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jurucakap Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat County Montgomery di Maryland, Pete Piringer berkata, pemilik tidak menyedari rumahnya terbakar selepas menyalakan api pada arang di ruang bawah tanah.

Dilaporkan, tiada individu yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Kerugian akibat kebakaran dianggarkan mencecah lebih AS$1 juta (RM4.23 juta).

SUmber : UM

Share.

Leave A Reply