Busuk, jijik dan meloyakan. Itu keadaan yang sempat dilihat dan dirakam dalam bilik air asrama yang menempatkan pekerja warga asing ketika serbuan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kedah di sebuah kilang plastik kitar semula semalam.

39 PATI Tinggal di Asrama Busuk Ditahan

Dalam Op Mahir bermula jam 11 malam diketuai Ketua Unit Aduan, Risikan dan Operasi Imigresen Kedah, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Mohamad Rizal Ramli, seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

Operasi empat jam dengan kekuatan 27 pegawai dan anggota itu dilakukan susulan risikan dan maklumat awam diterima yang mengatakan kilang terbabit beroperasi selama 24 jam.

Ketika serbuan dijalankan, sebahagian daripada lelaki warga asing terbabit dilihat sedang melakukan kerja manakala selebihnya berehat dan tidur dalam bilik asrama yang dibina menggunakan kontena serta bangunan lama.

Pekerja warga asing yang tinggal di asrama bangunan lama dilihat sanggup menghidu bau hancing daripada tandas yang dipercayai sudah lama tidak digunakan.

Ini berikutan bilik air berkenaan dijadikan sebagai tempat membuang air kecil oleh penghuni asrama terbabit sehingga ia berlumut dan menimbulkan pemandangan menjijikkan.

Lebih meloyakan, ada penghuni sanggup tinggal dan memasak dalam bilik berhampiran bilik air berkenaan tanpa menghiraukan bau busuk.

Difahamkan, setiap bilik asrama menempatkan lapan penghuni dan mereka dikatakan bekerja selama lapan jam sehari tanpa diberikan cuti dengan gaji RM75 sehari.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata seramai 168 pekerja lelaki warga asing diperiksa dalam operasi terbabit. 39 daripada mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan pas kerja tamat tempoh.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 36 lelaki warga Myanmar, dua Pakistan dan seorang Bangladesh, berusia antara 17 hingga 51 tahun”.

“Ketika operasi, tiada sebarang kekecohan berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya.

Beliau menyatakan hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati ada antara PATI terbabit mendakwa mereka sudah menetap di negara ini hampir tiga tahun lalu.

“Ada antara mereka mendakwa masuk ke negara ini mengikut laluan hutan dan ada mengatakan mereka lari daripada majikan lama di Kuala Lumpur, seterusnya datang bekerja di kilang berkenaan.

“Bagaimanapun, kita akan siasat dakwaan mereka,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian

Share.

Leave A Reply