4 Individu Ditahan Pasang Bendera Terbalik Di Johor.

| August 11, 2020 | 0 Comments

4 Individu Ditahan Pasang Bendera Terbalik Di Johor. | Polis menahan empat individu termasuk seorang lelaki Bangladesh selepas dipercayai terbabit memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di kilang perabot di Kawasan Perindustrian Tebrau, petang semalam.

IPK JOHOR

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn melakukan pemeriksaan di kilang itu pada 2.07 petang selepas menerima laporan awam.

Katanya, pemeriksaan mengesahkan laporan itu dan empat individu berusia 23 hingga 56 tahun diberkas iaitu pengurus kilang, pegawai sumber manusia, kerani logistik dan warga Bangladesh yang ditugaskan memasang bendera berkenaan.

“Kesemua suspek diambil keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang alasan atas tindakan berkenaan dan tindakan bukan hanya ke atas orang yang memasang bendera bahkan pemilik premis juga.

“Malaysia sudah merdeka 63 tahun, namun masih ada lagi yang memasang bendera terbalik. Tidak ada tolak ansur. Selepas ini kalau ada lagi, kita (polis) tangkap semua yang bertanggungjawab,” katanya.

Ayob Khan berkata, alasan biasa pemilik premis adalah bendera dipasang warga asing, namun beliau menegaskan sebagai rakyat Malaysia, pemilik premis perlu lebih prihatin dan memeriksa selepas pemasangan dibuat.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengambil mudah perkara itu dan bersama menjaga kedaulatan negara. Orang ramai juga boleh menyalur maklumat berkaitan kepada Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254 074.

Sumber : MyMetro

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *