4 Nelayan Dikhuatiri Lemas Selepas Bot Dinaiki Karam

| November 18, 2020 | 0 Comments

4 Nelayan Dikhuatiri Lemas Selepas Bot Dinaiki Karam | Jertih: Empat nelayan warga asing dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki karam dan tenggelam kira-kira 12 batu nautika dari perairan Kuala Besut, dekat sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3 pagi membabitkan sebuah bot nelayan dalam perjalanan dari Jeti Perikanan Geting, Tumpat, Kelantan ke lokasi menangkap ikan.

Katanya, bot itu dinaiki tekong warga Thailand dan awak-awak terdiri daripada empat warga Myanmar dipercayai karam di perairan Pulau Perhentian berhampiran Pulau Susu Dara akibat cuaca angin dan ribut yang kuat.

“Dalam kejadian itu seorang mangsa warga Myanmar diselamatkan oleh sebuah bot nelayan lain manakala empat lagi berusia 40-an belum ditemui.

“Bot yang dinaiki didaftarkan di Kelantan dan dalam perjalanan ke lokasi menangkap ikan dan sekitar perairan Negeri Terengganu petang semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di sini, hari ini.

Azrol berkata, mangsa yang selamat ditemui terapung itu dibawa ke Jeti Tok Bali, Kelantan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat digerakkan membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dan Pasukan Polis Marin Wilayah Timur dengan kekuatan dua pegawai serta 11 anggota dengan sebuah bot.

“Dalam operasi itu, pihak PDRM turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur dengan kekuatan lima pegawai dan 51 anggota membabitkan satu bot serta satu kapal mencari dan menyelamat.

“Radius kawasan mencari dan menyelamat sekitar enam batu nautika dari lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat kepada pemilik bot dan semua nelayan warga asing itu memiliki permit.

Sumber : HMetro

Tags: , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *