4 Orang Maut Dalam kemalangan Di LPT. | TEMERLOH – Empat termasuk tiga sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) menghala Kuantan di sini semalam.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 3.10 pagi membabitkan sebuah lori kontena, trak tunda, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dan Proton Waja turut menyebabkan 11 lagi individu cedera.

Mangsa yang maut ialah penumpang Proton Exora, Kamariah Hamzah, 72, Mohamad Shamsuddin, 75, dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dikenali sebagai Danis serta pemandu trak tunda, Mohd. Azuan Zainal Abidin, 53.

Mangsa yang cedera membabitkan tujuh penumpang dalam Proton Exora dan empat pemandu dan penumpang Proton Waja, kesemuanya berumur antara dua hingga 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Azhar Mohd. Yusof berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori kontena berkenaan hilang kawalan dan merempuh trak tunda yang sedang menunda Proton Exora yang rosak termasuk Proton Waja di lorong kecemasan.

“Kejadian itu mengakibatkan empat mangsa berumur antara 12 hingga 75 tahun mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, rempuhan itu menyebabkan Proton Exora berkenaan terhumban ke dalam gaung sedalam lebih 12 meter.

Sementara itu, Rosinawati Abu Samah, 46, isteri kepada pemandu trak tunda, Mohd. Azuan berkata, dia tidak menyangka tindakan suaminya yang tergesa-gesa keluar bekerja petanda mereka sekeluarga bakal kehila­ngan lelaki berkenaan.

Katanya, dia mengetahui mengenai perkhabaran buruk itu menerusi abang iparnya.

“Dia (suami) tidak menunjukkan perubahan sikap yang pelik sebelum kejadian. Cuma semalam dia tergesa-gesa hendak keluar bekerja dan keluar lebih awal iaitu pukul 8 malam bagi menyambung syif,” ujarnya.

Menurut Rosinawati suami­nya bekerja sebagai pemandu trak tunda dengan pihak lebuh raya berkenaan lebih 10 tahun.

Dalam pada itu, anak mangsa, Nor Hanis Syahirah, 17, berkata, sejak akhir-akhir ini bapanya ke­rap datang melawatnya di asrama sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan kali terakhir pada Jumaat lalu.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply