52 Lelaki Ditahan Teroka Nadir Bumi Secara Haram | Seramai 52 lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) selepas disyaki melakukan aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram dalam Hutan Simpan Bukit Enggang, minggu lalu.

Dalam operasi itu JPNK turut menyita peralatan dan mesin yang digunakan untuk aktiviti terbabit.

Pengarah JPNK, Muhammad Abdullah, berkata tangkapan itu dilakukan pihaknya pada Rabu lalu, manakala peralatan dan mesin yang disita dikeluarkan secara berperingkat.

Beliau berkata bahawa mereka sekarang masih lagi melakukan siasatan lanjut, kita akan mendapatkan kelulusan Timbalan Pendakwa Raya untuk proses perundangan terhadap semua lelaki terbabit.

Beliau juga berkata ketika dihubungi BH bahawa beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai kes ini kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Chong yang enggan namanya disiarkan, berkata peralatan dan mesin yang disita dibawa keluar sejak Sabtu lalu, diiringi kenderaan penguat kuasa JPNK dan polis.

Katanya, sebahagian penduduk kampung berasa lega dan berpuas hati melihat kegiatan itu dapat dilumpuhkan selepas kali pertama dikesan pada Oktober lalu.

Beliau berkata, penduduk memang hairan melihat kenderaan serta bahan yang dipercayai untuk aktiviti ini dibawa masuk ke Bukit Enggang, ingatkan kerajaan negeri mahu mulakan aktiviti penerokaan REE, rupanya tidak, ia dilakukan secara haram oleh pihak lain.

Setiap kenderaan yang keluar masuk di sini mereka akan cam, jika nampak berlainan sikit mereka boleh syak kenderaan ini untuk aktiviti selain daripada projek solar dan tanaman Musang King.

Mereka yang terbabit aktiviti teroka REE ini tidak boleh berbahasa Melayu dipercayai bukan rakyat Malaysia. Mereka sebagai penduduk rasa tak tenang apabila orang luar yang menceroboh tempat mereka.

Katanya, beliau harap kerajaan lebih peka dengan kegiatan lombong REE secara haram ini, mungkin bukan saja di Bukit Enggang menjadi sasaran mereka. Kerajaan perlu bertindak pantas mengenai isu ini, jika tidak hasil kekayaan negara akan dikaut orang luar.

Pada Oktober lalu, kerajaan negeri mengesahkan berlakunya kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, namun tidak membabitkan syarikat yang dibenarkan melakukan kajian di tapak berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kegiatan itu sama sekali tidak membabitkan kerajaan negeri atau syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberi lesen eksplorasi mengkaji potensi mineral itu.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

Kedah: Kementerian Digesa Campur Tangan Projek Penerokaan Unsur Nadir Bumi

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim digesa campur tangan dalam rancangan kerajaan negeri melakukan penerokaan ke atas unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

Kedah: Kementerian Digesa Campur Tangan Projek Penerokaan Unsur Nadir Bumi

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata keputusan kerajaan negeri melakukan penerokaan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP), dibimbangi boleh mengakibatkan berlaku unsur salah guna kuasa yang lain.

Jelasnya, disebabkan itu semua aktiviti penerokaan membabitkan REE perlu dihentikan segera sehingga SOP jelas dikeluarkan pihak kementerian, walaupun kerajaan negeri ada menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama pihak swasta bagi tujuan itu.

“Kita minta pihak kementerian campur tangan dalam isu REE ini kerana kita takut hasil bumi ini dijadikan bahan dagangan dalam pasar gelap. Atas alasan penerokaan, mungkin ada pihak ambil hasil bumi berkenaan dan jual secara senyap.

“Sebab itu, kita minta kementerian turun padang dan tinjau tapak aktiviti penerokaan REE ini dan hentikan sebarang aktiviti di tapak sehingga SOP dikeluarkan.

“Urusan SOP ini juga perlu dibuat secara teliti dan sebaik mungkin, kita kena faham menyediakan SOP ini bukan mudah, ia perlu dibuat secara mendalam agar hasil bumi penting ini tidak dijadikan sumber yang dijual di pasaran gelap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum berhubunga siasatan kes kecurian REE di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sini, hari ini.

Kedah: Kementerian Digesa Campur Tangan Projek Penerokaan Unsur Nadir Bumi

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Incoporated (MBI Kedah) mengumumkan menandatangani MoU bersama Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd, bagi memulakan aktiviti penerokaan REE secara rasmi melalui perkongsian pengalaman, maklumat serta kepakaran.

Aktiviti itu terpaksa dimulakan, walaupun tanpa SOP ditetapkan berikutan berlaku kelewatan dalam penyediaan garis panduan mengenainya di peringkat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai siasatan kes kecurian REE di kawasan Bukit Enggang tahun lalu, Shaiful Hazizy berkata, pihaknya meminta SPRM Kedah menjelaskan fakta berhubung siasatan itu.

Jelasnya, hukuman kompaun RM130,000 yang dikenakan ke atas seorang individu bersabit kes itu adalah tidak munasabah berbanding fakta jenayah dan saiz operasi kegiatan itu yang dipercayai bernilai jutaan ringgit.

“Ini adalah berasakan maklumat penduduk kampung berdekatan yang melihat kehadiran kereta mewah bercermin gelap, pengawal tapak dipercayai samseng dan lori yang diiringi pacuan empat roda (4WD).

“Kegiatan operasi seperti itu semestinya mustahil dilakukan seorang individu sahaja, tentunya ia disertai kumpulan penjenayah terancang, tetapi yang ditangkap hanya seorang.

“SPRM perlu panggil pemilik tanah iaitu MBI Kedah dalam melakukan penyiasatan mereka dan MBI Kedah juga perlu tampil menjelaskan perkara ini bagi memastikan tidak ada pembabitan pihak berkuasa, pegawai atau agensi tertentu,” katanya.

Oktober lalu, media mendedahkan negara mungkin kerugian berbilion ringgit apabila hasil REE dicuri pihak tertentu yang kemudiannya menjualnya secara haram ke pasaran antarabangsa.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply