6 Beranak Nyaris Rentung Apabila Rumah Mereka Hangus Terbakar. | PONTIAN – Enam beranak nyaris rentung apabila rumah yang didiami mereka sekeluarga hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Sri Dungun di sini awal pagi tadi.

Kebakaran kira-kira jam 6 pagi itu mengakibatkan empat buah rumah penduduk dan sebuah kedai musnah.

Mangsa, Sahar Othman, 56 berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, dua orang anak, dua cucu berusia 11 dan sembilan tahun sedang tidur.

Katanya, kebakaran itu disedari selepas dia terhidu bau asap dan melihat api sudah membakar salah sebuah bilik di rumahnya itu.

“Saya kejutkan isteri, anak-anak dan cucu-cucu keluar dari rumah, mujur mereka sempat keluar tanpa mengalami kecederaan. Saya bimbang memandangkan rumah ini dibina dari kayu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Manisah Md Som, 75, berkata, dia segera keluar dari kediamannya selepas dapur rumahnya dipenuhi asap hitam.

“Saya keluar sehelai sepinggang, tak sempat nak ambil apa-apa barang pun, sebab api marak begitu cepat,” katanya yang tinggal seorang diri.

Dalam pada itu, wakil penduduk, Rosly Hamdan berkata, terdapat 68 buah rumah di Kampung Sri Dungun yang menjadi penempatan nelayan di pinggir Sungai Pontian Besar.

Katanya, wakil dari Pejabat Agama Daerah Pontian sudah datang dan menyalurkan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil berkata, pihaknya ada menerima panggilan kecemasan pada jam 6.24 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota dari BBP Pontian dan dibantu lapan anggota dari BBP Pontian Baru dengan empat jentera ke lokasi kejadian manakala operasi memadam kebakaran tamat pada jam 8.35 pagi tadi.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply