6 Kes Mati Dalam Tahanan, Mana Keputusan Siasatan? | PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen mempersoalkan kerajaan berhubung “kehilangan” laporan penemuan kes kematian dalam tahanan walaupun banyak agensi dan jabatan kerajaan ditugaskan untuk menyiasat perkara itu.

6 Kes Mati Dalam Tahanan, Mana Keputusan Siasatan?

Ini termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard polis.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, terdapat enam kes kematian dalam tahanan tahun ini dan tidak ada “satu suara pun” mengenai punca kes terbabit.

“Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan yang ditubuhkan pada Dis 2021 dan diletakkan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard polis pasti sibuk menguruskan enam kes kematian dalam tahanan tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menggesa kerajaan menyediakan laporan berhubung kematian itu untuk dibentangkan dalam sesi baharu sidang Parlimen bermula 28 Feb nanti.

“Saya berharap mendapat reaksi segera daripada Perdana Menteri sebagai ketua Keluarga Malaysia bagi memastikan laporan itu siap.

“Ingatlah, kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermaksud Malaysia mesti menunjukkan komitmennya dalam melindungi dan mempertahankan hak asasi manusia. Kematian dalam tahanan adalah satu pelanggaran yang berat.”

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply