852 Dikompaun, 33 Direman Gara-gara Ingkar SOP PKP

| June 9, 2021 | 0 Comments

852 Dikompaun, 33 Direman Gara-gara Ingkar SOP PKP | Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, namun terdapat segelintir masyarakat yang masih lagi degil dan gagal untuk mematuhi SOP. Pihak berkuasa menahan 885 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan 852 dikompaun dan 33 direman.

852 Dikompaun, 33 Direman Gara-gara Ingkar SOP PKP

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis membabitkan 178 orang, tiada penjarakan fizikal (145), tidak memakai pelitup muka (144), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (101) dan membawa penumpang berlebihan (73).

“Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 92,202 pemeriksaan pada 8 Jun.

“Ia membabitkan 4,145 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 22,804 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 86 operasi sanitasi merangkumi 45 zon merah dan empat zon kuning dilaksanakan di seluruh negara semalam.

Katanya, operasi itu telah membabitkan 500 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 186 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 77 jentera JBPM.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara kumulatif sebanyak 26,914 operasi sanitasi merangkumi 156 zon telah dilakukan dipusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan sejak 30 Mac 2020.

“Semalam juga, seramai 455 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya sudah dikuarantin.

“Secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 222,831 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 74 hotel, 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta pengajian swasta di seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, seramai 143 pekerja asing menjalani ujian saringan semalam dan 10 kes positif Covid-19 telah dilaporkan. Katanya, sehingga kini seramai 698,634 pekerja asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 36,194 majikan.

“Daripada jumlah pekerja itu, 10,349 disahkan positif Covid-19 dan setakat ini, sebanyak 1,544 klinik terbabit dengan program saringan ini,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 867 pemantauan harian ke atas 10 jenis bekalan barangan membabitkan 680 peruncit, 157 pemborong dan 30 pengilang semalam.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP juga melakukan 2,498 Pemeriksaan Khas Pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 2,467 premis mematuhi SOP ditetapkan, manakala 31 premis dikompaun kerana tidak patuh SOP.

Ismail Sabri sekali lagi mengingatkan orang awam untuk kekal di rumah dan amalkan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah masing-masing bagi mengekang penularan Covid-19.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , , , , ,

Category: KESIHATAN, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *