Selepas Lama Berdiam Diri, Kenyataan Terkini Tun Mahathir Ini Buat Ramai Melayu Malu

| May 12, 2020 | 0 Comments

Selepas Lama Berdiam Diri, Kenyataan Terkini Tun Mahathir Ini Buat Ramai Melayu Malu | Ini kenyataan dari Tun Dr Mahathir selepas lama berdiam diri. Baca selanjutnya..

DAP HANCUR MELAYU

1. Saya amat malu apabila ramai orang Melayu percaya DAP akan hancurkan kita orang Melayu jika ia berada dalam Kerajaan Malaysia.

2. Ya. Saya mengaku orang Melayu mempunyai banyak kelemahan. Mereka tidak berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Kita dapati ramai juga orang Melayu yang miskin, yang terlibat dengan dadah, jenayah-jenayah tertentu dan rasuah. Dalam penjara pun terdapat ramai banduan Melayu.

3. Tetapi benarkah orang Melayu begitu lemah sehingga sebuah parti politik boleh hancur mereka?

4. Ya. Dahulu kita dijajah oleh British. Tetapi negara sebesar India pun dijajah oleh British juga. Kita (negeri-negeri Melayu) tidak ditawan oleh British, walaupun Melaka jatuh ke tangan Portugis dan kemudian Belanda.

5. Kita jemput British untuk nasihat kita dalam bidang pentadbiran. Tetapi seperti di lain-lain tempat. British ambil alih pentadbiran seolah-olah kita sudah jadi jajahan takluk mereka.

6. Lepas Perang Dunia II, British kembali ke Malaya dan merancang untuk benar-benar menjadikan negeri-negeri Melayu milik mereka. Mereka mencadang menubuh Malayan Union yang ditadbir secara langsung dari Whitehall London. Raja-raja Melayu akan hanya menjadi pentadbir agama Islam dan adat istiadat Melayu. MacMichael paksa Raja-Raja Melayu serah negeri-negeri mereka kepada British.

7. Tidak ada rundingan dengan orang Melayu sama sekali. Tetapi kita tahu, orang Melayu bangun dan menentang Malayan Union. Ringkasnya British, suatu kuasa dunia yang baru menang perang terpaksa tunduk kepada orang Melayu, terpaksa batal Malayan Union hanya dua tahun selepas diisytihar.

8. British ingat mudah untuk rampas negeri Melayu seperti mereka rampas Palestin untuk diberi kepada Yahudi. Percubaan untuk rampas negeri Melayu, untuk sebenarnya hancurkan bangsa Melayu gagal. Gagal kerana orang Melayu menentang.

9. Mungkin sekarang ada Melayu bacul. Tetapi Melayu dahulu berani. Susulan kepada penolakan Malayan Union, Melayu tuntut kemerdekaan. Pemuda Melayu tuntut kemerdekaan pada 1957. British bersetuju kemerdekaan diberi pada 1959.

10. Melayu tolak dan tetapkan kemerdekaan pada 1957. Dan 1957 menjadi tarikh kemerdekaan. Banyak syarat yang cuba dikenakan tetapi Melayu tolak.

11. Apabila British terbang pesawat Concorde tanpa izin dari Malaysia, Kerajaan pimpinan Melayu perkenal dasar “Buy British Last”. Kita beli Syarikat Guthrie milik British dalam satu “Dawn Raid” yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara di dunia. Semua syarikat penjajah dibeli oleh Malaysia kerana diarah oleh pemimpin Melayu.

12. Demikian juga dengan kuasa besar yang lain. Biasanya tiap pemimpin baru negara-negara kecil di dunia, apabila dilantik akan minta untuk pergi mengadap Presiden Amerika. Kita tidak. Perdana Menteri Malaysia yang menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, hanya pergi Amerika Syarikat (US) tiga tahun selepas dilantik walaupun duta Amerika Syarikat cuba mendapat temujanji sesudah sahaja Perdana Menteri baru Malaysia mengambil alih.

13. Pemimpin Melayu Malaysia sering menegur kuasa-kuasa besar apabila mereka melaku kezaliman ke atas negara yang lemah. Suara pemimpin Melayulah yang lantang menegur selewengan kuasa besar kepada Israel.

14. Percubaan dibuat oleh penyangak matawang untuk Kerajaan pimpinan Melayu Malaysia mengemis bantuan International Monetary Fund (IMF) dan World Bank. Badan-badan ini menawar pinjaman jika Malaysia letak ekonomi Malaysia dibawah mereka.

15. Kita tolak. Kita cipta cara kita sendiri untuk mengatasi masalah keturunan nilai Ringgit. Maka pakar-pakar kewangan dunia pun berkata kita akan muflis – bankrap. Tetapi tidak. Kita pulih semula dengan cepat walaupun pemimpin Malaysia ini orang Melayu, jentera pentadbiran Melayu.

16. Dan banyak lagilah peristiwa yang menunjuk orang Melayu tidak mudah dihancurkan.

17. Tetapi orang Melayu boleh hancur. Mereka akan hancur apabila membenar penyangak jadi pemimpin. Pemimpin seperti ini walaupun Melayu akan hancurkan orang Melayu.

18. Kita tubuh sebuah Parti Melayu untuk memperjuang nasib orang Melayu. Parti ini berjaya; berjaya kalahkan British, capai kemerdekaan, bangun negara sehingga menjadi Harimau Asia.

19. Parti ini tidak pernah kalah. Tetapi pada 9 May 2018, parti ini kalah.

20. Kenapa? Kerana parti bertuah ini mendapat penyamun sebagai pemimpin. Saya tak payah ulang apa yang pemimpin penyangak ini buat. Dari sebuah negara yang dihormati, negara ini menjadi kleptokrasi – negara yang diperintah oleh pencuri.

21. Maka hancurlah parti ini kerana ahlinya sedia disogok dan tidak lagi utama perjuangan orang Melayu.

22. Maka dimomok orang Melayu sehingga ada yang begitu takut kepada DAP. Orang Melayu dan pemerintahan Melayu yang berani melawan British, kuasa-kuasa besar IMF dan Bank Dunia sekarang takut kepada DAP, takut dihancur oleh DAP. Takut kepada Guan Eng. Orang Melayu takut kepada Guan Eng.

23. Dari mana datang bacul ini. Nak dapat perlindungan dari siapa? Dari Najib? Dari Kerajaan Melayu Islam pimpinan penyangak?

24. Ada yang kata, walaupun penjenayah, dia Melayu. Semasa dia memimpin dia lindung Melayukah? Dia kalah kerana melindung Melayukah?

25. Tepuk dada, tanya selera. Boleh main golf dengan Trump adalah bukti kekuatan untuk lindung Melayukah?

26. Pemuda Melayu dahulu lawan dengan British. Tak takut. Pemuda yang sokong Najib ini mencari perlindungan dari Najib. Sudah jadi baculkah?

27. Saya malu. Amat malu.

28. Rupa-rupanya ada orang Melayu yang begitu takut kepada DAP sehingga sanggup mengkhianati rakyat yang beri mandat kepada mereka.

29. DAP tidak mungkin hancur Melayu tetapi mereka akan hancur kerana orang Melayu memilih penyangak sebagai pemimpin.

12 Mei 2020

Sumber : FB Tun M

Tags: , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *