Abang Maut, Adik Cedera Kereta Terbabas Langgar Pokok |Malang tidak berbau apabila kereta yang dinaiki abang dan adik perempuannya terbabas sehingga melanggar sebatang pokok. Kemalangan terbabit telah meragut nyawa si abang.
Bukit Kayu Hitam: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan di Felda Bukit Tangga, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, penumpang bahagian hadapan itu yang juga merupakan seorang remaja berusia 17 tahun, dipercayai merupakan adik mangsa cedera akibat daripada kemalangan itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam yang diketuai Nazari Kasa digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 7.14 pagi.
Beliau berkata operasi terbabit membabitkan tujuh anggota dan dua jentera termasuk bantuan polis dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, setiba saja pihak bomba ke lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi, kami mendapati seorang mangsa iaitu pemandu kereta yang berusia 20-an tersepit dalam kereta yang remuk. Pihak bomba terpaksa mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
Mohamadul Ehsan berkata, adik mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh anggota dari jentera EMRS sebelum menghantar mangsa ke hospital untuk rawatan.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sumber: Berita Harian