Seorang abang terkejut apabila menemukan adik lelakinya dalam keadaan tidak bernyawa di tepi sebuah kedai di Taman Kenari, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, lelaki berusia 52 tahun itu menghubungi ambulan setelah menjumpai adiknya terbaring, namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, berdasarkan maklumat, mangsa berusia 47 tahun itu merupakan seorang penganggur.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai bersama dengan abangnya berada di tepi kedai terbabit yang berhampiran pondok didiami si mati kira-kira pukul 3 petang semalam.
“Namun tiga jam kemudian ketika abang si mati kembali semula ke kedai itu, dia menemukan adiknya terbaring di tepi kedai itu lalu menghubungi ambulan dan pihak polis.
“Siasatan awal mendapati tiada penemuan apa-apa kecederaan pada badan si mati dan mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.
Sumber : UM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Lelaki Lingkungan 50-an Meningg4l Dunia Dalam Pergaduhan
BATU PAHAT – Seorang lelaki tanpa identiti ditemui tidak sedarkan diri di tempat letak kereta berhadapan premis perniagaan di Jalan Penjaja dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu ditemui oleh orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihaknya kira-kira pukul 8 malam.
Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan disahkan telah meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan daripada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) yang hadir sejurus dimaklumkan.
“Susulan daripada itu, seorang warganegara asing berusia 43 tahun yang dilihat cuba melarikan diri dari tempat kejadian telah berjaya ditangkap oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di bangunan berhampiran sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor telah hadir membantu menjalankan siasatan di tempat kejadian dan hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala mangsa,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Ismail lagi, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran dan rakaman video yang dibuat oleh saksi awam yang kebetulan berada di tempat kejadian, menunjuk ada berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa ditemui mati.
Ujarnya, mayat mangsa di bawa ke HSNI untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian manakala suspek yang berjaya diberkas akan di bawa ke hadapan Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi polis menjalankan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Sumber: KMN