(Ada Video) Hero Sebenar! Tindakan Abang Bomba Ini Buat Ramai Orang Respek | Georgetown: “Sebagai anggota bomba walaupun tidak bertugas, saya sedaya upaya cuba menyelamatkan wanita berkenaan,” kata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak di sini, Muhammad Syahir Jamaludin, 31, yang dianggap wira oleh warganet selepas video dia menyelamatkan seorang wanita daripada terjun di Jambatan Pulau Pinang semalam tular di media sosial.

Muhammad Syahir berkata, pada hari kejadian dia yang tidak bertugas dalam perjalanan dari Kepala Batas ke Georgetown kira-kira jam 3.15 petang.

Katanya, sebaik tiba di Kilometer 3.4 arah Prai menghala ke bahagian pulau, Muhammad Syahir terlihat wanita itu yang mengancam mahu terjun ke laut sedang dipujuk orang awam.

“Saya lihat ramai pengguna jalan raya berhenti di bahu jalan sebelum menyedari ada wanita berdiri di tepi jambatan dipercayai hendak terjun ke laut.

“Sebagai anggota bomba walaupun ketika tidak bertugas, sedaya upaya saya mahu menyelamatkan wanita berkenaan.

“Wanita berusia 40-an itu mendakwa dia dari Bukit Mertajam dan wajahnya kelihatan sedih ketika berdiri di tepi jambatan.

“Daripada percakapannya, wanita berkenaan dipercayai mempunyai masalah dengan keluarga dan orang awam juga berusaha menenangkannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Shahir berkata, dengan pengalamannya selama 12 tahun sebagai ahli bomba, dia cuba mencari jalan bagi menyelamatkan wanita itu.

Katanya, melihat peluang yang ada, Muhammad Syahir kemudian terus menarik kedua-dua tangan wanita berkenaan daripada belakang sebelum dibantu orang awam.

“Saya lihat ada pemancing di bawah jambatan itu bersedia untuk bertindak sekiranya wanita itu nekad terjun. Mujurlah semuanya selamat dan kes juga sudah diserah kepada polis,” katanya.

Mengulas mengenai video tular itu, Muhammad Syahir berkata tindakan berkenaan adalah yang biasa dilakukan anggota bomba lain ketika operasi menyelamat.

Dalam kejadian itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.35 petang.

“Wanita berusia 43 tahun diselamatkan anggota bomba yang tidak bertugas serta kebetulan berada di lokasi kejadian,” katanya.

SUMBER : Harian Metro

Share.

Leave A Reply