(Ada Video) Pemandu Lori Sondol Beberapa Kenderaan Di Tambak Johor | Agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil tindakan lanjut berhubung insiden sebuah lori melanggar beberapa kenderaan lain di Johor Bahru-Woodlands pada pagi Khamis.

Tangkap layar menunjukkan sebuah lori merempuh beberapa buah kenderaan yang sedang beratur di Tambak Johor menghala ke Singapura, pagi ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan segera menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden tersebut.

Menurutnya, pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pula akan menyiasat dari aspek teknikal untuk mencari punca kemalangan.

“Sementara pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori tersebut.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah JPJ melengkapkan audit ICOP.

“Ini termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, tular video rakaman sebuah lori melanggar belakang beberapa kereta lain di laluan Johor Bahru-Woodlands yang dipercayai mengalami kegagalan brek.

Ka Siong turut meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian semasa kemalangan tersebut berlaku supaya menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video sekiranya ada bagi membantu siasatan.

“Saya amat memandang serius kes-kes seperti ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.

“Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Susulan perkongsian itu, video tersebut mendapat pelbagai reaksi orang ramai di ruangan komen yang mempertikaikan tindakan pemandu lori yang tidak melanggar penghadang jalan raya yang lebih efektif untuk memberhentikan kenderaan.

“Wahai pemandu lori, awak tak tahu ke pembahagi jalan raya itu lebih kuat daripada melanggar kenderaan di hadapan itu? Jika melihat dari video ini macam ada masalah brek,” kata Wai Lup.

“Ini pasti sebab masalah brek, sebab dapat tengok lampu brek dia menyala tetapi lori itu tetap berjalan, kalau dalam keadaan macam ini dia sepatutnya tutup sahaja enjin,” jelas Abhi Yay.

“Masalah brek? Kenapa tak langgar penghadang tengah jalan itu, gunakan barrier untuk hentikan lori, bukan sondol semua kenderaan lain untuk berhentikan kenderaan,” ujar Ariif AK.

SUMBER : Sinar Harian

Share.

Leave A Reply