(Ada Video) Sekumpulan Lelaki Tunjuk Lagak Samseng. Ini Tindakan Polis | Kuala Lumpur: Merusuh dan merosakkan kenderaan orang awam. Itu perbuatan dikesan dilakukan dua kumpulan lelaki dipercayai bergaduh di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling di sini, kelmarin.

PETIKAN video tular menunjukkan kumpulan lelaki disyaki bergaduh dan merosakkan kenderaan orang awam.

Kejadian kira-kira 2 pagi itu turut tular selepas video dimuat naik di media sosial.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, polis menerima laporan daripada lelaki di gerai bersama rakannya dan meletakkan kereta miliknya di tepi jalan.

“Semasa sedang makan bersama rakannya, tiba-tiba pengadu mendapati terdapat dua kumpulan terdiri daripada kira-kira 20 lelaki sedang merusuh.

“Kesemua lelaki itu bergaduh antara satu sama lain menggunakan senjata besi dan botol arak. Pengadu mendapati mereka merosakkan kereta yang berada di sana termasuk kereta pengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kereta pengadu pecah cermin belakang.

Susulan kejadian itu, polis kini sedang giat mengesan kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Amihizam meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

SUMBER : Harian Metro

Share.

Leave A Reply