(Ada Video) Suara Masih Padu Tapi Fizikal Makin Bongkok, Zamani Minta Peminat Usah Risau | KUALA LUMPUR: Menyedari kerisauan peminat terhadap penyakit tulang belakang dihidapinya sejak dua tahun lalu, penyanyi Zamani Ibrahim tampil menjelaskan tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik dan masih berupaya untuk menyanyi seperti biasa.

Terharu sikap prihatin ditunjukkan peminat selepas video menyaksikan bentuk badannya semakin membengkok berikutan penyakit scoliosis yang dideritai tular, baru-baru ini, pemilik nama lengkap Zamani Ibrahim itu memaklumkan, dia masih menjalani rawatan susulan untuk mengubati penyakitnya itu.

“Hanya bentuk tubuh saya sahaja berubah, tetapi tahap kesihatan saya masih baik. Dari segi nyanyian, memang tiada masalah langsung.

“Jadi, kepada peminat, usahlah risau. Lagipun, saya masih menjalani rawatan dari semasa ke semasa. Doakan semoga penyakit saya segera sembuh,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Syair Si Pari-Pari itu enggan memperincikan keadaan penyakitnya kerana tidak mahu ia diperbesar-besarkan.

“Cukuplah setakat ini sahaja mengenai penyakit yang boleh saya kongsikan. Kalau ikutkan, saya memang tidak mahu mengulas apa-apa kerana tidak mahu ia diperbesar-besarkan.

“Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang cukup prihatin dengan keadaan kesihatan saya,” luah penyanyi berusia 51 tahun ini.

Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok memuat naik video yang menyaksikan tubuh Zamani semakin membengkok dan menjadi tular. Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati selepas melihat keadaan fizikal vokalis kumpulan Slam itu.

Walaupun tidak selincah dahulu, Zamani tetap memberikan persembahan terbaik apabila vokal emasnya mendapat pujian ramai.

“Meskipun terkejut penampilan terkini saya, warga netizen tetap mendoakan saya cepat sembuh, itu sudah cukup membuatkan saya rasa dihargai,” ujar Zamani.

SUMBER : Berita Harian

Share.

Leave A Reply