Adik M4ut Ditikam Cuba Halang Abang Pukul Isteri |BENGKULU: Seorang lelaki maut ditikam abang sendiri dalam satu kejadian di Seluma, Bengkulu, kelmarin.
Kejadian itu berlaku selepas mangsa dikenali sebagai Sugiharto, 26, yang baru pulang dari bendang melihat kakak iparnya dipukul abangnya di rumah mereka.
Tidak sanggup melihat kejadian itu, mangsa cuba meleraikan pergaduhan pasangan suami isteri tersebut.
Turut berada di rumah itu adalah ibu mereka.
Polis menjelaskan, suspek yang berang dengan tindakan adiknya cuba meleraikan pergaduhannya dengan isteri terus pergi ke dapur dan mengambil pisau.
“Suspek terus menikam perut adiknya menyebabkan mereka sekeluarga terkejut dengan perbuatan itu.
“Mangsa cuba keluar dari rumah, namun terjatuh dan tidak sedarkan diri, manakala suspek melarikan diri,” kata Ketua Polis Semidang, Gema Arozon.
Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital, namun tidak dapat diselamatkan berikutan kecederaan parah yang dialaminya.
Menurut Gema, polis bergegas ke lokasi kejadian dan melakukan pencarian untuk mengesan suspek.
“Suspek ditahan ketika bersembunyi di rumah keluarganya di Bengkulu Selatan,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan, suspek sering memukul isterinya sehingga mendatangkan kecederaan.
Sumber: UM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
‘Berhalusinasi, Dengar Bisikan,’ Kes Tikam Pesakit Hospital Selayang
‘Berhalusinasi, Dengar Bisikan,’ Kes Tikam Pesakit Hospital Selayang | Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen Selayang hari ini memerintahkan seorang lelaki yang menikam seorang pesakit di Hospital Selayang, menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal supaya Mohd Khairul Kamul, 22, dihantar ke pusat psikiatri kerana dipercayai keadaan mental tertuduh tidak stabil.
“Pihak pendakwaan membuat permohonan itu di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Tertuduh juga telah ditahan dan menerima rawatan di Jabatan Psikiatrik Hospital Selayang sejak 15 Feb lepas. Tiada jaminan dicadangkan terhadap tertuduh,” katanya.
Tertuduh yang memakai baju hospital berwarna hijau didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah ke atas V Sathish Rao, 29, menggunakan sebilah pisau di Zon Kuning Bahagian Kecemasan Hospital Selayang di sini, pada 3.45 petang, 14 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohd Khairul mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan namun mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuannya.
“Saya tidak sedar dan di bawah halusinasi serta terdengar bisikan-bisikan,” katanya ketika ditanya jurubahasa sama ada dia faham pertuduhan atau tidak.
Dalam prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dia dirawat di rumah kakaknya di Batu Caves.
Hakim Nor Rajiah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Mac untuk sebutan kes bagi laporan psikiatri tertuduh.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki yang menghidap demam denggi datang ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum ditikam seorang pesakit mental.
Tikaman itu menyebabkan mangsa cedera pada abdomen kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan. Namun, mangsa kini dilaporkan stabil.
Sumber: Harian Metro