Adik Menyebabkan Kematian Abang | Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Seksyen Sungai Petani menyebabkan kematian abangnya dalam kejadian di Taman Desa Meranti dua minggu lalu.

Tertuduh (dua dari kiri) didakwa menyebabkan kematian abangnya 31 Disember lalu.

Tertuduh, Ali Ashtar, 24, didakwa melakukan perbuatan itu pada jam lebih kurang 10.30 malam bertempat di sebuah rumah di taman perumahan terbabit 31 Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, dia telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mukhtiar Ali, 39, yang juga merupakan seorang warga Pakistan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh diwakili Peguam SP Raman.

Hakim Azman Abu Hassan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Februari 2023 bagi mendapatkan jurubahasa Urdu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang abang maut ditikam selepas dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan adiknya yang mahu pulang ke negara asalnya di Pakistan.

Mangsa dipercayai bertindak menyembunyikan tiket penerbangan dengan tujuan menghalang adiknya pulang menyebabkan tercetus pergaduhan.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dipercayai ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.

Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.37 malam.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel Lain

Tidak Benarkan Adik Pulang Ke Pakistan, Abang M4ut Ditikam Adik Sendiri

SUNGAI PETANI: Tindakan seorang lelaki Pakistan menyembunyikan tiket penerbangan bagi menghalang adiknya pulang ke negara asal berakhir tragedi apabila dia maut dipukul dan ditikam adiknya dalam kejadian di Taman Desa Meranti di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9.57 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mukhtiar, 39, mengalami kecederaan akibat ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.

Dia yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 10.37 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dengan adiknya berusia 34 tahun.

“Dua beradik itu bertengkar selepas Mukhtiar melarang adiknya pulang ke Pakistan untuk bertemu keluarga selain menyembunyikan tiket penerbangan.

“Suspek yang berang bertindak di luar kawalan dengan memukul dan menikam abangnya sehingga parah,” katanya di sini hari ini.

 

Seorang Lelaki Maut Ditetak Abang Dengan Pedang.

Seorang Lelaki Maut Ditetak Abang Dengan Pedang. | JELI – Seorang lelaki maut dipercayai ditetak abangnya dengan sebilah pedang dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Sungai Rual Melayu di sini pagi tadi.

Kejadian pada pukul 1.20 pagi itu berlaku semasa abangnya yang berusia 30-an yang mengalami kemurungan dipercayai tiba-tiba menyerang dan menetak bahagian belakang leher mangsa.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin, berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 30 tahun dipercayai sedang memasak di dapur di rumah mereka sebelum kejadian.

“Suspek dipercayai secara tiba-tiba datang dari arah belakang sebelum terus menetak adiknya dengan sebilah pedang.

“Insiden itu menyebabkan mangsa mati di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ahmad, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply