Agong Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 | Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat.

Agong Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14

Sidang ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut aturan urusan mesyuarat di laman rasmi Parlimen, sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada titah diraja.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt.

Sementara itu, mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Okt.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun sebelum ini memaklumkan, pelbagai inisiatif dijalankan.

Antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan ujian saringan RT-PCR terhadap 1,801 individu terdiri daripada petugas Parlimen dan individu terlibat dalam persidangan itu pada 10 dan 11 Sept lepas.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan melalui hasil saringan yang dijalankan selama dua hari di dewan serbaguna Parlimen, seramai 26 individu didapati positif Covid-19 melibatkan seorang senator dan 25 petugas Parlimen.

Selain itu, terdapat dua ahli Parlimen dikesan positif hasil saringan di luar kompleks.

Sumber : Malaysia Kini, Bernama

Share.

Leave A Reply