Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes yang dihadapinya di mahkamah.

Ahmad Zahid Failkan Saman Fitnah Terhadap Tun M

Ahmad Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu minggu lalu (20 April) dengan menamakan Mahathir, 97, sebagai defendan tunggal manakala notis tuntutan dihantar pada 25 April.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pada 19 Oktober 2018, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Namun Presiden UMNO itu berkata, pada 23 Februari lalu, Dr Mahathir telah mengeluarkan kenyataan palsu dan berbaur fitnah dengan niat jahat merujuk secara terus kepada plaintif.

Menurutnya, ia dibuat dalam suatu Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Katanya, Dr Mahathir memfitnah bahawa beliau pernah hadir ke rumah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa pertemuan itu berkemungkinan berlaku disebabkan beliau merupakan seorang Perdana Menteri, namun diketahui bahawa Ahmad Zahid mungkin dimasukkan ke penjara.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, pernah mendengar bahawa Ahmad Zahid juga cuba untuk menghapuskan tindakan terhadapnya melalui mahkamah.

Pada hari yang sama Ahmad Zahid berkata, rakaman video majlis berdurasi 56 minit dan 46 saat itu, telah diterbitkan secara langsung di Akaun Youtube Astro Awani.

Dakwa plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 23,443 kali dengan akaun Youtube Astro Awani mempunyai 1.44 juta pelanggan.

Selain rakaman itu, ia telah dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial serta portal-portal berita dalam talian pada 23 Februari lepas.

Sedangkan Ahmad Zahid berkata, kenyataan palsu tersebut jelas memfitnah dan telah mencederakan reputasinya di mata masyarakat.

Jelas beliau, ia tidak benar, tidak berasas, dan berniat jahat (untrue, unwarranted, unsubstantiated and mischievous), Dr Mahathir tiada sebarang alasan munasabah untuk memutuskan bahawa kenyataan itu adalah benar.

Menurutnya, kenyataan itu menunjukkan bahawa dirinya adalah seseorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan, menangguh perbicaraan jenayahnya yang masih berjalan.

Justeru Ahmad Zahid berkata, pihaknya memohon satu perintah injunksi interim mengarahkan defendan menulis kepada portal berita dalam talian serta platform sosial media supaya pemadaman, penerbitan fitnah tersebut serta menyerahkan sesalinan notis bagi tujuan ini kepada pihaknya.

Selain itu beliau turut menuntut ganti rugi teruk, teladan dan am serta kos tindakan itu daripada defendan.

Sementara itu, ketika dihubungi media, peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata, prosiding secara dalam talian pada Rabu, di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor Afidah Idris ditetapkan untuk pada pengurusan kes.

Menurutnya, pendengaran permohonan inter-parte pula akan didengar pada 17 Jun di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff melalui sidang video.

Untuk rekod, ini merupakan saman kedua Ahmad Zahid terhadap seorang pemimpin parti politik berhubung isu sama.

Pada 5 April lalu, Presiden UMNO menfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Pada 23 Februari lalu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang medianya mengakui pernah didatangi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply